Anda di sini

Soon Kai meninggal dunia pada usia 90 tahun

Advertisement
 Bekas Timbalan KM Datuk Patinggi Tan Sri Dr Wong Soon Kai meninggal dunia pada usia 90 tahun, semalam.
KEHILANGAN BESAR: Bekas Timbalan KM Datuk Patinggi Tan Sri Dr Wong Soon Kai meninggal dunia pada usia 90 tahun, semalam.

KUCHING: Bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Wong Soon Kai me-ninggal dunia pada usia 90 tahun di kediamannya di sini pada jam 4 pagi semalam.

Soon Kai yang juga bekas Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dari tahun 1991 hingga 1996 meninggalkan seorang isteri, Datin Patinggi Dato Sri Dr Jane Yong dan tiga anak iaitu Dr Wong Chee Liang, Dr Wong Chee May dan Wong Chee Ling serta enam orang cucu.

Anak sulungnya, Dr Wong Chee Liang ketika ditemui Utusan Borneo di kediamannya di sini, semalam memberitahu, bapa-nya telah sakit iaitu mengalami kesukaran berjalan sejak Februari 2015.

Sejak itu, beliau hanya tinggal di rumah sahaja dan tidak dapat keluar rumah tetapi masih aktif dari segi pemikirannya di mana beliau banyak meluangkan masa menonton televisyen rancangan kegemarannya iaitu saluran golf dan berita.

Namun, sejak akhir-akhir ini kesihatanya semakin merosot dan pada lewat malam tadi (kelmarin), kami ada berbual dengannya, yang kemudiannya tidur.

Namun pada jam 3.50 pagi tadi (semalam) apabila emak saya bangun mendapati beliau sudah mengembus nafas terakhirnya,” katanya.

Beliau berkata, keadaan kesihatan bapanya semakin lemah sejak awal minggu lepas di mana mendiang mempunyai kesukaran untuk makan dan minum.

Mendiang menggunakan tiub untuk makan dan minum tetapi keadaan semakin lemah sejak beberapa hari lepas,” katanya lagi.

Menceritakan lanjut mengenai mendiang bapanya, Chee Liang memberitahu sejak bersara dari politik pada tahun 1996, keba-nyakan masa mendiang diluangkan dengan bermain golf bersama rakan-rakannya.

Meskipun tidak keluar rumah sejak kesihatan tidak mengizinkan, kata beliau, bapanya turut menerima kunjungan daripada rakan golfnya yang datang untuk berbual bersama beliau.

Selepas tidak dapat keluar rumah beliau banyak meluangkan masa menonton rancangan televisyen sukan golf dan sepan-jang itu juga beliau mendapat kunjungan daripada rakan golfnya, yang membuatkan beliau amat gembira.

Beliau masih juga mempunyai rakan dari politik tetapi sejak bersara beliau tidak pernah campur tangan dalam hal politik. Malahan bersama kami adik-beradik beliau lebih suka berbual mengenai hal keluarga,” ujarnya.

Soon Kai, yang juga Penasihat Sains Kerajaan Sarawak pada 1997, merupakan pakar bedah untuk lebih 20 tahun sebelum menyertai bidang politik dan menjadi menteri kabinet negeri pada 1974.

Mendiang merupakan Timbalan Ketua Menteri pada tahun 1994 hingga 1996, apabila tewas kepada mendiang Wong Ho Leng di DUN Bukit Assek pada Pilihan Raya Negeri 1996.

Beliau mengetuai SUPP sejak 1991 hingga 1996 sebelum menye-rahkan tugas kepada Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.

Upacara penghormatan diadakan pada Jumaat ini iaitu jam 7 malam di kediamannya di No.8, Lorong Tabuan 2, Off Jalan Tabuan di sini.

Sementara itu, upacara sembahyang pengebumian diadakan pada Sabtu ini pada jam 9 pagi Gereja Methodist Trinity di Jalan Ellis sebelum dikebumikan di Nirvana Memorial Park di Bau.

 Antara yang datang memberi penghormatan terakhir di kediaman mendiang, semalam.
PENGHORMATAN: Antara yang datang memberi penghormatan terakhir di kediaman mendiang, semalam.
Advertisement