Anda di sini

Dua maut nahas

Advertisement
 Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa kemalangan.
BERTUNGKUS-LUMUS: Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa kemalangan.

   Tiga lagi cedera dalam kemalangan kendiri di Kilometer 31 Jalan Sri Aman-Kuching.

SRI AMAN: Dua maut manakala tiga lagi cedera ringan dalam satu kemalangan kendiri di  Kilometer 31 Jalan Sri Aman-Kuching di sini, pagi semalam.

Mangsa dikenal pasti sebagai Sultan Untang, 43, dari Kampung Jungkal, Betong dan Romualdo Alim, 18, dari Rumah Mengga, Kampung Sungai Besai di Pantu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala, tiga penumpang lagi iaitu adik-beradik Micheal Robert, 22, dan Maxson Robert, 18, dari Rumah Connie, Panggau Dau dan Donna Putra, 18, dari Rumah Luis, Batu Besai Ili, masing-masing mengalami kecederaan ringan.

Pemangku Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik ASP Mathew Manggie berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 6.30 pagi apabila kereta yang dipandu oleh Sultan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.

Siasatan awal mendapati kenderaan dipandu dari arah Kuching menuju ke Sri Aman dan melanggar tiang elektrik di sebelah kanan jalan sebelum kenderaan tersebut terjunam ke dalam parit di sebelah kanan Jalan Kuching-Sri Aman,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mathew berkata, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman dengan kekuatan tujuh anggota diketuai Jilin Itar bergegas ke lokasi susulan menerima panggilan kecemasan sekitar 7.15 pagi semalam.

Katanya, bomba melakukan penstabilan kenderaan yang dalam kedudukan separuh terbalik sebelum membantu mengeluarkan dua mangsa dipercayai telah meninggal dunia yang tersepit di pintu depan serta seorang lagi terbaring di dalam kenderaan tersebut.

Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa-mangsa menggunakan peralatan menyelamat sebelum menyerahkan kepada pihak perubatan dan seterusnya pihak polis.

Anggota turut membuat pembersihan sisa-sisa kemalangan jalan raya sebelum pulang ke balai,” katanya.

Advertisement