Anda di sini

Jumlah kemasukan pelajar ke IPT ditingkatkan

Advertisement
 Siti Hamisah bersama Kadim ketika mendengar penerangan daripada salah seorang wakil politeknik semasa Karnival Pendidikan Tinggi Negara di Kuching semalam.
PENERANGAN: Siti Hamisah bersama Kadim ketika mendengar penerangan daripada salah seorang wakil politeknik semasa Karnival Pendidikan Tinggi Negara di Kuching semalam.

KPTM tingkat jumlah kemasukan pelajar 11 peratus daripada jumlah 120,000 kemasukan ditetapkan

KUCHING: Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPTM) meningkatkan jumlah kemasukan pelajar ke insititusi pengajian tinggi (IPT) sebanyak 11 peratus daripada jumlah 120,000 kemasukan yang ditetapkan.

Ketua Pengarahnya Datin Paduka Dr Siti Hamisah Tapsir berkata bilangan itu pada dasarnya dikekalkan berdasarkan jumlah kemasukan pelajar tahun lalu.

Tahun lalu (2016), sebanyak 120,000 kemasukan pelajar ditetapkan dan untuk tahun ini jumlah itu masih dikekalkan tetapi ada penambahan sebanyak 11 peratus,” katanya ketika menghadiri Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN) 2017 Zon Sarawak di CityOne Megamall di sini semalam.

Ditanya mengenai aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50), beliau berkata sektor pendidikan bakal mengalami perubahan dalam pelbagai aspek.

Malah, katanya pihak kementerian sendiri kini sedang dalam fasa mereka bentuk semula pendidikan tinggi dalam usaha mengatasi cabaran masa depan.

Dengan TN50 ini sememangnya kita jangka semua akan berubah, kerana peredaran teknologi terkini yang penuh dengan kreativiti dan inovasi.

Justeru, ia mampu merubah landskap pendidikan tinggi negara,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas tentang KPTN17 yang dihoskan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Siti Hamisah berkata Sarawak merupakan lokasi keenam karnival itu diadakan membabitkan 120 penyertaan terdiri daripada IPT awam dan swasta serta agensi kerajaan.

Beliau turut menyifatkan KTPN sebagai pusat sehenti untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf di peringkat pengajian diploma mendapatkan maklumat tentang peluang pendidikan tinggi, akreditasi dan pembiayaan.

Menurutnya karnival itu akan berlangsung sehingga hari ini bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Hadir sama Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi serta timbalan-timbalan naib canselor dan dekan UNIMAS.

  • oleh
  • Advertisement