Anda di sini

Pencemaran sungai antara punca serangan buaya

Advertisement
 Anggota Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) SFC mengukur panjang buaya yang berjaya ditewaskan menerusi satu operasi memburu buaya.
GAMBAR FAIL: Anggota Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) SFC mengukur panjang buaya yang berjaya ditewaskan menerusi satu operasi memburu buaya.

KUCHING: Pencemaran sungai merupakan aspek yang mungkin menyumbang dalam kes-kes serangan buaya, kata Pegawai Hidupan Liar Sarawak Forestry Corporation (SFC) Christopher Kri Ubang.

Menurutnya, pencemaran sungai seperti membuang sisa makanan dalam bungkusan plastik yang dilakukan oleh penduduk berhampiran sungai wajar dihentikan.

“Pencemaran sungai juga merupakan faktor serangan buaya. Banyak plastik ditemui dalam perut buaya (yang kami bedah).

“Kami dapati buaya tertarik dengan sampah yang dibuang kerana mereka menyangkakan ada makanan dalam bungkusan plastik,” katanya ketika ditemui pada operasi memburu buaya di muara Sungai Santubong baru-baru ini.

Justeru, beliau yang mengetuai operasi tersebut menyeru orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya membuang sampah ke dalam sungai.

Berdasarkan kajian yang dijalankan SFC dalam tempoh 2012 hingga 2014 mengenai populasi buaya katak (Crocodylus porosus) di sungai-sungai di Sarawak, anggaran populasi buaya katak yang mendiami 22 lembangan sungai di negeri ini adalah 13,500 ekor.

Kajian tersebut turut mencatatkan lembangan sungai Similajau mempunyai 5.74 ekor per kilometer, Saribas (2.25 per kilometer) dan Samarahan (2.17 per kilometer), sekali gus dikategorikan sebagai tiga kawasan yang mempunyai kepadatan populasi buaya tertinggi di Sarawak.

Ekoran serangan buaya terhadap manusia, SFC telah mengisytiharkan 19 kawasan Zon Nyah Buaya di seluruh negeri.

Di Kuching, kawasan terbabit ialah Jambatan Satok hingga ke Baraj, Pasir Panjang ke Pasir Pandak, Damai, beberapa tempat di Taman Negara Bako, Kampung Bako, kawasan rekreasi mandi-manda di Rizab Semula Jadi Gua Angin dan Pantai Siar serta Pantai Pandan di Lundu.

Selain itu, lokasi turut disenaraikan ialah Tebing Sungai Sri Aman, Tebing Sungai Sarikei, Tebing Sungai Sibu, Tebing Sungai Bintulu, Marina Miri hingga ke Jambatan Piasau, pekan Batu Niah, pekan Sepupok, Tebing Sungai Bekenu hingga ke Kampung Dagang, Esplanade Marudi, Tebing Sungai Long Lama, Tebing Sungai Limbang dan Tebing Sungai Lawas.

  • oleh
  • Advertisement