Anda di sini

Tipu: bekas guru besar dipenjara 17 tahun

Advertisement
 Amin (dua kanan) dibawa keluar dari mahkamah oleh anggota polis setelah dijatuhkan hukuman atas 22 pertuduhan menipu.
PENJARA DAN SEBATAN: Amin (dua kanan) dibawa keluar dari mahkamah oleh anggota polis setelah dijatuhkan hukuman atas 22 pertuduhan menipu.

SIBU: Seorang bekas guru besar sebuah sekolah rendah di sini dijatuhi hukuman 17 tahun penjara atas 22 tuduhan menipu seorang pemilik syarikat sebanyak RM88,090, sebagai modal bagi projek dan tender sekolah yang tidak wujud.

Tertuduh, Amin Rostani, 50, turut dikenakan 23 sebatan oleh mahkamah setelah mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan di mahkamah di sini, semalam.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu Tang Chok Chai, dengan memperdayakan mangsa untuk menjadi rakan kongsi dan memintanya membayar sejumlah wang sebagai modal perniagaan bagi tender dan projek sekolah yang tidak wujud.

Amin didakwa melakukan kesalahan itu antara 22 Oktober 2014 dan 29 Disember 2014 di sebuah kedai di Sibu Jaya, membabitkan wang bayaran antara RM750 dan RM9,690.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih sepuluh tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Berdasarkan fakta kes, Tang telah berkenalan dengan tertuduh yang memperkenalkan dirinya sebagai guru besar sebuah sekolah di Pulau Bruit, Daro. Tertuduh mengajak mangsa untuk menjadi rakan kongsi bagi tender beberapa sekolah di sekitar Sibu.

Tang telah menyerahkan wang tunai berjumlah RM88,090 kepada tertuduh sebanyak 22 kali secara berperingkat sambil disaksikan oleh ibu mangsa untuk tujuan menjadi rakan kongsi bagi projek dan tender sekolah sekitar bandar ini.

Tang telah mengeluarkan baucar bayaran sebanyak 22 keping sebagai bukti wang telah diserahkan kepada tertuduh untuk menjalankan perniagaan tersebut.

Mangsa hanya menjadi rakan kongsi dengan mengeluarkan modal sahaja dan tidak tahu sama ada projek tersebut dijalankan atau tidak sepertimana yang dijanjikan oleh tertuduh.

Mangsa hanya mengetahui projek berkenaan tidak wujud apabila tertuduh gagal memulangkan modal atau keuntungan selepas tiga bulan.

Tertuduh telah memperdayakan mangsa dengan menunjukkan cadangan tender-tender sekolah supaya Tang mempercayai kewujudan projek berkenaan dan menyerahkan wang kepadanya.

Hasil siasatan, tertuduh mengaku ada menerima wang berjumlah RM88,090 daripada Tang dan mengaku bahawa projek tersebut tidak wujud dan hanya cadangan untuk meyakinkan mangsa. Tertuduh juga mengaku ada menerima baucar bayaran yang mempunyai cop syarikat, selain pernah menurunkan tandatangan.

Advertisement