Anda di sini

Raja Salman Abdulaziz diberi sambutan negara

Advertisement
 Raja Salman memberi tabik hormat pada sambutan rasmi lawatan negara empat hari ke Malaysia di Dataran Parlimen dekat Kuala Lumpur, semalam. Sultan Muhammad V turut berangkat menyambut ketibaan Raja Arab Saudi itu Turut kelihatan Najib (kanan). — Gambar Bernama
TABIK HORMAT: Raja Salman memberi tabik hormat pada sambutan rasmi lawatan negara empat hari ke Malaysia di Dataran Parlimen dekat Kuala Lumpur, semalam. Sultan Muhammad V turut berangkat menyambut ketibaan Raja Arab Saudi itu Turut kelihatan Najib (kanan). — Gambar Bernama

Lawatan sulung baginda ke negara Asia Tenggara disambut Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V

KUALA LUMPUR: Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud yang tiba untuk memulakan lawatan negara empat hari ke Malaysia, diberi sambutan negara di Dataran Parlimen di sini, semalam.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menyambut ketibaan Raja Salman, yang melakukan lawatan sulungnya ke negara Asia Tenggara ini yang mempunyai 30 juta penduduk, pada jam 11.50 pagi.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta menteri-menteri Kabinet.

Upacara sambutan dimulakan dengan persembahan lagu kebangsaan kedua-dua negara oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dari Kem Sungai Besi disusuli dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.

Raja Salman yang juga Penjaga Dua Masjid Suci kemudian memeriksa kawalan kehormat terdiri empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Pertama RAMD yang diketuai Mejar Azlan Shah Baharum.

Terdahulu, Najib menyambut ketibaan Raja Salman, yang melakukan lawatan negara ke Malaysia atas jemputan Sultan Muhammad V, di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang.

Najib menyambut mesra Raja Salman, yang memakai jubah berwarna krim dan kaca mata hitam, dengan pelukan sejurus baginda turun daripada pesawat khas.

Turut menyambut baginda di KLIA ialah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga menteri pengiring.

Najib juga mengiringi Raja Salman menaiki kenderaan rasmi sepanjang perjalanan 45 minit ke Dataran Parlimen di ibu negara bagi upacara sambutan rasmi itu.

Pada upacara itu, menteri-menteri Kabinet dan para diplomatik asing diperkenalkan kepada Raja Salman.

Baginda diiringi oleh 600 anggota rombongan yang merangkumi kerabat diraja dan menteri Kabinet Arab Saudi sepanjang lawatan itu sehingga 1 Mac ini.

Raja Salman dijadualkan berangkat menghadiri jamuan negara yang dihoskan Sultan Muhammad V di Istana Negara di sini, malam tadi.

Majlis itu akan diserikan dengan pengurniaan anugerah negara kepada Raja Salman yang menaiki takhta pada 23 Jan 2015.

Pada Isnin, baginda dijadualkan mengunjungi pusat pentadbiran Malaysia di Putrajaya bagi mengadakan perbincangan dengan Najib mengenai pelbagai perkara berkaitan kepentingan bersama.

Mereka akan mempengerusikan majlis menandatangani beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang-bidang seperti ekonomi, sains dan pendidikan, sumber manusia serta haji dan umrah.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Saudi Press Agency (SPA) dijadual menandatangani perjanjian mengenai kerjasama pertukaran berita.

Raja Salman juga akan berangkat menghadiri majlis makan tengah hari rasmi di Putrajaya yang dihoskan Najib di kediaman rasminya di Seri Perdana yang menampilkan pemandangan menarik pusat pentadbiran negara itu.

Jadual lawatan baginda pada Isnin turut merangkumi penganugerahan ijazah kehormat daripada Universiti Malaya, universiti berprestij tertua Malaysia, di Kuala Lumpur.

Acara lain yang akan diadakan sempena lawatan baginda adalah Forum Perniagaan Malaysia-Arab Saudi, majlis ramah mesra bersama-sama para mufti serta majlis bersama-sama para pelajar Arab Saudi dan Malaysia yang ditaja oleh kerajaan negara kaya dengan minyak itu.

Satu lagi acara penting adalah majlis menandatangani MoU mengenai kerjasama di antara syarikat-syarikat minyak Malaysia dan Arab Saudi.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) juga akan menganugerahkan ijazah kehormat dan anugerah pencapaian cemerlang kepada Raja Salman.

Lawatan negara terakhir Raja Arab Saudi ke Malaysia ialah pada 2006 oleh Almarhum Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud. Almarhum Raja Faisal bin Abdulaziz Al Saud juga pernah mengadakan lawatan negara ke Malaysia pada 1970. — Bernama

Advertisement