Anda di sini

Mohd Adham juara kategori lelaki tertutup ‘Bintulu Mountain Bike Challenge 2017’

Advertisement

BINTULU: Mohd Adham Mohd Arif dari pasukan Giant Kuching muncul juara kategori lelaki tertutup Bintulu dalam perlumbaan ‘Bintulu Mountain Bike Challenge 2017’ dengan mencatat masa terpantas 42 minit 49 saat(s) yang berlangsung di Trek MTB Wisma Bintulu semalam.

 Manakala mengekori di belakang sekali gus meraih naib juara ialah Sylvester Ding (Corbusier Team) dengan catatan masa 45:01s.

 Kedudukan ketiga pula diraih Norzafry Nor Halim dengan catatan masa 48:50s.

 Tempat keempat dan kelima masing-masing disandang Abdul Rashid Saini (50:16s) dan Luqman Affendy (51:41s).

 Saingan tertutup ini disertai 57 peserta.

 Kategori tersebut menyaksikan juaranya menerima RM300, naib juara menerima RM200 dan ketiga menerima RM100 berserta piala.

 Hadiah tempat keempat dan kelima pula masing-masing menerima RM50.

 Saingan kategori lelaki veteran menyaksikan Chung Xan Tang dari pasukan Promenade Kuching muncul juara dengan mencatat masa terpantas 1:00.39s.

 Osama Abdul Malik (Promenade Kuching) dengan catatan masa 1:00.46s meraih naib juara dan tempat ketiga menjadi milik Supian Nor (Corbusier Team Kuching) dengan catatan masa 1:02.28s.

 Kedudukan keempat dan kelima masing-masing disandang Patrick Siqueen (SAXON Multi Sports Extreme Club) dan Azaree Mohammad dari Brunei Darussalam.

 Saingan veteran disertai 68 peserta.

 Juara untuk kategori lelaki veteran membawa pulang hadiah wang tunai RM400, naib juara menerima RM300 dan ketiga menerima RM200 termasuk piala.

 Diikuti tempat keempat serta kelima masing-masingnya menerima RM100.

 Jarak satu pusingan trek untuk perlumbaan mencabar itu adalah 4.4 kilometer dan kejohanan itu disertai 245 peserta.

 Hadiah-hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Residen Bahagian Bintulu Muhamad Yakup Kari.

 Hadir sama Timbalan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Mohd Bohari Kipli yang mewakili Pengurus Besar BDA Rodziah Morshidi, Pemanca Datuk Dr Francis Toh dan ketua-ketua masyarakat setempat.

 Muhamad Yakup berkata, penganjuran Mountain Bike Challenge merupakan langkah penting BDA dalam menyahut seruan kerajaan negeri melalui Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti untuk menjadikan negeri ini sebagai kuasa sukan (sports power house).

 “Ini merupakan usaha kita dan kita tidak perlu menunggu arahan khusus untuk menggerakkannya sebaliknya BDA telah mengorak langkah dengan memberi respons kepada seruan kerajaan itu,” katanya dalam upacara penutupan kejohanan terbabit semalam.

 Katanya, kita perlu mempunyai impian besar untuk menjadikan sukan satu agenda penting negeri ini sebagai kuasa sukan bukan sahaja di Malaysia malahan di Asia Tenggara dan dunia.

 “Sama-sama kita berusaha merealisasikan impian ini melalui kejohanan perlumbaan Mountain Bike dan seumpamanya.

 “Mana-mana kumpulan penggerak sukan tidak harus menoleh ke belakang lagi dan semua kaum perlu mengambil kesempatan melalui solidariti untuk membina kesejahteraan dan kemajuan sukan di Bintulu sekali gus menyumbang ke arah kuasa sukan untuk negeri ini,” ujarnya.

 Dalam pada itu, Mohd Bohari berkata kejohanan yang diadakan itu bertujuan memupuk gaya hidup sihat melalui sukan di samping untuk mengukuhkan hubungan silaturahim antara BDA, penduduk Bintulu dan Sarawak amnya.

 “Acara yang diadakan juga selaras dengan slogan BDA untuk mewujudkan Bintulu sebagai sebuah bandar mesra,” katanya.

 Beliau berkata acara anjuran BDA, Pejabat Residen Bahagian Bintulu dan DNA Sports sebagai pengaturcara teknikal itu turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Kesihatan Bintulu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi lain.

 “Dengan penyertaan dan sokongan peserta dari dalam dan luar Bintulu, acara ini dapat dikelolakan dengan jayanya seperti yang dirancang,” katanya.

Advertisement