Anda di sini

Golongan wanita harus cari jalan tingkatkan pendapatan keluarga

Advertisement

SRI AMAN: Golongan wanita terutama kaum ibu harus mencari jalan meningkatkan pendapatan keluarga dengan menceburi bidang ekonomi yang tidak membebankan peranan sebagai suri rumah, wanita berkerjaya serta tulang belakang selepas suami.

 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa berkata wanita tidak harus berpeluk tubuh dan mengharapkan rezeki daripada suami atau wang gaji sebaliknya menceburi bidang lain yang dapat menampung sumber pendapatan diri dan keluarga terutama bagi yang bergelar ibu tunggal.

 “Kita harus menyahut cabaran yang dilontar kerajaan yang mahu melihat semua rakyat di negeri ini berpendapatan lebih RM4,000 menjelang tahun 2020 kerana ia penanda aras negeri dan rakyat sudah bergerak jauh di hadapan dan menuju negara maju,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Merarau Persekutuan Persatuan Wanita Sarawak (PPWS) anjuran PPWS Cawangan Kampung Perintah Sri Aman di sebuah restoran di sini semalam.

 Sehubungan itu, beliau mahu wanita terutama kaum ibu yang bernaung di bawah PPWS merangka program yang sesuai dan menjurus kepada cara-cara meningkatkan ekonomi para ahlinya bukan sahaja di bahagian ini malah Sarawak amnya.

 “Saya yakin dan percaya bahawa anda semua mempunyai kemahiran dalam sesuatu bidang dan jika ia dikembang dan dijana dengan gabungan idea rakan lain boleh mendatangkan sumber pendapatan diri dan keluarga jika betul caranya.

.

.

maka itu jangan kedekut ilmu sebaliknya idea itu harus dikongsi bersama ahli-ahli yang lain.

 “Tadi saya dimaklumkan bahawa seorang wanita muncul usahawan berjaya dengan hanya menanam cendawan, justeru anda boleh mempelajari rahsia wanita tersebut iaitu daripada pengusaha cendawan kecil-kecilan yang kini pasaran cendawannya mempunyai jaringan pasaran luas dan menjadi pembekal utama cendawan kepada sebuah pasar raya di Sibu,” tegasnya.

 “Lagipun, saya yakin anda semua memiliki sekurangkurangnya sebidang tanah dan jika ia diusahakan dengan tanaman komersil pasti dapat menjana pendapatan berlipat kali ganda,” katanya dengan memberi contoh kaum Cina sekalipun tanpa sebidang tanah yang luas dan hanya bercucuk tanam di tepi jalan atau di sekitar rumah, namun berupaya menghantar anakanak ke universiti.

 Katanya, kaum ibu harus mengurangkan aktiviti kurang berfaedah dengan hanya menonton televisyen atau bersembang kosong dengan jiran tetangga sebaliknya harus mencari ikhtiar bagaimana membantu diri, suami dan keluarga menambah pendapatan.

 “Jika anda tahu menyusun manik, menjahit, bertenun atau mempunyai bakat dalam bidang ternakan ayam itik dan sebagainya harus diteruskan kerana kerja-kerja tersebut pastinya memberi pulangan lumayan kelak,” katanya.

 Bercakap lanjut, Dr Rayong menggesa kaum wanita turut menekankan aspek pendidikan di kalangan anak-anak mereka.

 “Ilmu pengetahuan adalah kunci kehidupan pada masa depan, justeru berilah anakanak pendidikan sempurna sehingga ke menara gading.

 “Hanya dengan berpendidikan sempurna dapat mengeluarkan kita dari kepompong kemiskinan seterusnya membantu kerajaan menyediakan modal insan berketerampilan, berwawasan serta berpandangan jauh dalam mengemudi negeri dan negara ke landasan lebih tinggi,” katanya.

 Tambahnya, pada 16 Mac depan, pihaknya bersama TEGAS akan mengadakan Jerayawara Pendidikan di bandar Sri Aman dan mahu ibu bapa, sekolah dan pelajar mengunjungi karnival tersebut.

 “Banyak manfaat bakal diperolehi dengan mengunjungi ‘roadshow’ itu kelak dan saya sebagai salah seorang ahli jawatankuasa pusat TEGAS amat mengalu-alukan kehadiran para ibu bapa, pihak sekolah dan pelajar ke ‘roadshow itu,” katanya.

 Pada majlis tersebut Dr Rayong turut mengumumkan geran MRP kepada PPWS Cawangan Kampung Perintah sebanyak RM7,000 dan cek telah disampaikan kepada Pengerusinya Helen Edward Brandah.

 Turut hadir Pegawai Daerah Lubok Antu Richard Ngumbang, Pegawai Pendidikan Lubok Antu James Andrew Jangi, Pegawai JASA Lubok Antu Edwin Achih, Timbalan Ketua Pemuda UPP Engkilili Peter Jawi, Penghulu Betuk Tubi, Penghulu Gerang Anchih, para kaunselor, tuai-tuai rumah dan tetamu jemputan lain.

  • oleh
  • Advertisement