Anda di sini

Bina jalan guna CMA bantu industri getah

Advertisement

Akan meningkatkan pendapatan penoreh yang dibelenggu harga rendah

KUCHING: Pembinaan jalan menggunakan kaedah turapan ‘Rubberised - Cuplump Modified Asphalt’ (CMA) bukan sahaja hanya meningkatkan teknikaliti dan ketahanan jalan tetapi juga membantu industri getah di negara ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata dengan itu, ia akan menyumbang kepada peningkatan pendapatan penoreh getah khususnya yang selama ini dibelenggu dengan harga getah rendah.

Memang pembinaan jalan menggunakan bahan berasaskan getah ini menelan kos yang besar tetapi dengan menggunakan kaedah ini, kita berharap ia dapat menstabilkan harga getah.

Dengan itu, ia membantu penoreh getah kerana matlamat kita adalah untuk membantu meningkatkan pendapatan penoreh getah khususnya, selain menambah baik teknikaliti dan ketahanan jalan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Sarawak di sebuah hotel di sini, semalam.

Menurut beliau, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga sudah menandatangani perjanjian dengan Lembaga Getah Malaysia bagi menjalankan kajian untuk membangunkan pembinaan jalan menggunakan kaedah tersebut, yang menggunakan CMA berbanding tayar terpakai sebelum ini.

Katanya kajian permulaan telah bermula di Laluan FT010, Jalan Gemas-Rompin, daerah Tampin, Negeri Sembilan, Laluan 4 Jalan Gerik-Kupang, daerah Baling, Kedah dan Laluan FT002, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, daerah Temerloh, Pahang.

Hasil daripada kajian tersebut, beliau berkata penambahbaikan telah dibuat kepada rekaan campuran CMA dan akan dilaksanakan di Projek Jalan Central Spine: Membina Jalan Kota Bharu ke Kuala Krai, Kelantan dalam Pakej 1B Pasir Hor ke Kadok, Kota Bharu dengan sasaran pelaksanaan pada April 2017.

Selain itu, katanya projek perintis juga sudah dikenal pasti iaitu melibatkan Projek Membina Semula Jalan Persekutuan Yong Peng-Segamat FT001 (Seksyen 134-Seksyen 174) sepanjang 20 kilometer (4 lorong x 5 kilometer panjang) dengan anggaran kos RM92.3 juta.

Kos bagi penggunaan CMA adalah RM53.60/m2 berbanding RM29.90/m2 bagi penggunaan asphalt konvensional.

Advertisement