Anda di sini

Tuntutan elaun perjalanan palsu, bekas Pegawai Daerah Selangau dipenjara tiga bulan, denda

 Wan Akil (kanan) diiringi oleh seorang pegawai SPRM keluar dari mahkamah setelah dijatuhkan hukuman atas tuduhan mengemukakan tuntutan elaun perjalanan palsu.
TUNTUTAN PALSU: Wan Akil (kanan) diiringi oleh seorang pegawai SPRM keluar dari mahkamah setelah dijatuhkan hukuman atas tuduhan mengemukakan tuntutan elaun perjalanan palsu.

SIBU: Bekas Pegawai Daerah Selangau Wan Akil Wan Ahmad Bujang dijatuhkan hukuman tiga bulan penjara dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini semalam atas tuduhan mengemukakan tuntutan elaun perjalanan palsu.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati pihak pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, Wan Akil, 51, didakwa mengemukakan tuntutan elaun perjalanan itu pada 14 Ogos 2014 di Pejabat Daerah Selangau.

Dia didakwa mengemukakan Borang Tuntutan Elaun Perjalanan Rasmi bertarikh 4 Ogos 2014 berjumlah RM4,450, bagi bayaran elaun makan, penginapan dan tambang teksi untuk bulan Julai.

Jumlah tersebut termasuk RM860 yang tidak layak dituntut atau kenyataan palsu yang dikemukakan oleh tertuduh dalam tuntutan elaun perjalanan terbabit bagi bayaran elaun makan, penginapan dan tambang teksi.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24, Akta yang sama. 

Peguam bela tertuduh, Fadzillah Osman dalam rayuannya merayu hukuman ringan terhadap anak guamnya yang kesal dengan perbuatannya itu.

Beliau juga memberitahu, anak guamnya kini berusia 51 tahun dalam dalam usia itu, sukar baginya mencari pekerjaan lain setelah berkhidmat dalam kerajaan selama 32 tahun.

Pegawai Pendakwa SPRM, Katherine Nais memohon kepada mahkamah agar mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada yang lain.

Wan Akil yang membayar denda tersebut, juga akan membuat rayuan terhadap hukuman penjara yang dijatuhkan terhadapnya.

Sementara menunggu rayuan itu, mahkamah membenarkan tertuduh bebas denda ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.