Anda di sini

Polis tumpas geng samun ‘Hitam’, tahan lima lelaki

Advertisement
 M Chandra menunjukkan pisau Badik yang ditemui di dalam kenderaan yang digunakan oleh ahli kumpulan Geng Hitam untuk melakukan samun di beberapa kawasan sekitar dekat Kinabalu, semalam. — Gambar Bernama
TUMPAS: M Chandra menunjukkan pisau Badik yang ditemui di dalam kenderaan yang digunakan oleh ahli kumpulan Geng Hitam untuk melakukan samun di beberapa kawasan sekitar dekat Kinabalu, semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Polis menumpaskan geng ‘Hitam’ yang dipercayai melakukan sekurang-kurangnya empat kes samun berikutan penahanan lima lelaki termasuk ketuanya dalam beberapa tangkapan berasingan baru-baru ini.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata berikutan laporan mengenai kes samun di sebuah perumahan di Kingfisher dekat sini baru-baru ini, polis telah melancarkan satu operasi dan menahan seorang lelaki di Kota Marudu, kira-kira jam 12 tengah malam Ahad lepas.

“Hasil siasatan terhadap suspek berkenaan, seorang lagi suspek berjaya ditahan di sebuah rumah di Taman Putrajaya Telipok kira-kira 5 petang Isnin lepas.

“Dalam serbuan itu, kita telah merampas dua telefon bimbit yang mana satu daripadanya adalah milik mangsa samun di Kingfisher.

“Selang beberapa jam selepas tangkapan itu, kita telah menahan seorang lagi suspek di sebuah rumah tidak bernombor di Tuaran kira-kira jam 7.30 malam,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, dua lagi suspek termasuk ketua geng berkenaan ditahan kira-kira jam 3 pagi Rabu lepas di Kampung Likas.

“Ketika ditahan-dua suspek berkenaan berada di dalam sebuah kenderaan yang mencurigakan. Semasa dihampiri pasukan peronda, suspek cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan,” katanya.

Chandra berkata empat daripada suspek berusia 23 hingga 32 tahun itu memiliki rekod jenayah lampau termasuk ketua geng berkenaan yang mempunyai lebih 30 rekod jenayah membabitkan samun dan dadah.

“Empat daripada suspek itu juga didapati positif dadah dan tiga daripada suspek direman selama empat hari sehingga Isnin ini, manakala dua lagi suspek direman empat hari sehingga Selasa ini,” katanya. — Bernama

Advertisement