Anda di sini

Perkasa perairan Sarawak

Advertisement
 Ahmad Puzi (empat kiri) dan Ismaili (tiga kiri) sambil disertai tetamu jemputan lain ketika menyempurnakan simbolik Pelancaran Penubuhan PSSMM Negeri Sarawak, di KOMTAS, Kuching, semalam.
RASMI: Ahmad Puzi (empat kiri) dan Ismaili (tiga kiri) sambil disertai tetamu jemputan lain ketika menyempurnakan simbolik Pelancaran Penubuhan PSSMM Negeri Sarawak, di KOMTAS, Kuching, semalam.

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merancang membina radar di perairan Sarawak bertujuan memperkukuh pemantauan dan perlindungan selain memastikan keselamatan di perairan negeri terus terjamin.

Menurut Ketua Pengarah APMM Malaysia Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar, setakat ini, APMM memiliki sebanyak 14 radar seluruh perairan Malaysia tetapi tiada radar dibina di perairan negeri ini.

Jelasnya, jumlah radar itu disifatkan masih tidak mencukupi dan ia perlu diperbanyakkan kerana penggunaan radar sangat membantu dalam menjalan pemantauan terutama mengesan ancaman musuh yang menggunakan laluan perairan, khasnya.

“Perkara (pembinaan radar di perairan Sarawak) ini kini di peringkat perbincangan dan ia akan dilaksana secara berperingkat-peringkat termasuk mengambil kira akan kemampuan kerajaan.

“Jika pelaksanaan ini dipersetujui, radar ini akan dipasang di setiap 60 batu nautika di perairan Sarawak yang kita sifatkan berkesan untuk meningkatkan kawalan sempadan perairan.

“Namun, pembinaan radar ini memakan kos tinggi, justeru pelaksanaannya perlu diteliti secara berperingkat supaya cadangan ini dapat dilaksanakan mengikut perancangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Pelancaran Penubuhan Pasukan Sukarelawan Simpanan Maritim Malaysia (PSSMM) Negeri Sarawak, di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), Muara Tebas, dekat sini, semalam.

Turut hadir Pengarah APMM Sarawak Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit.

Selain Sarawak, APMM juga kini sedang membina dua radar di Pulau Jarak dan Pulau Perak di perairan Semenanjung Malaysia dan merancang membina tiga radar tambahan di perairan Sabah.

“Kita melihat penggunaan radar ini sangat berkesan di mana berbanding 40 kes rompakan lanun yang berlaku 10 tahun lalu, setakat ini negara kita merekod sifar rompakan lanun sejak 2009,” jelasnya.

Sementara itu, mengenai penubuhan PSSMM itu, jelasnya, pihaknya menyasar penyertaan seramai 1,000 PSSMM di seluruh Sarawak selari dengan sasaran sama untuk mencapai nisbah 1:1 dengan jumlah anggota tetap.

Katanya, penubuhan pasukan itu adalah sebagai ‘radar bergerak’ APMM yang memberi peluang kepada masyarakat dalam meningkatkan kesedaran penguatkuasaan undang-undang maritim.

“Ia juga berperanan meluaskan jaringan kerjasama dengan komuniti setempat serta menjadikan mereka sebagai mata dan telinga rasmi kepada APMM Sarawak dalam mengumpul maklumat bagi menangani jenayah di laut.

“PSSMM ini akan dilatih dan didedah dengan pemahaman mengenai ancaman dari laut dan seterusnya membantu APMM dalam segala usaha bagi memastikan perairan negeri ini, khasnya terus terjaga,” tegasnya.

Ahmad Puzi memberitahu, penubuhan PSSMM itu telah dilulus kabinet pada September 2016 untuk merekrut seramai 5,000 ahli PSSMM di seluruh Malaysia dan yakin menjelang 2020, jumlah keanggotaan APMM dan keahlian PSSMM akan bertambah seramai 10,000 orang.

Majlis perbarisan pelancaran PSSMM itu dihadiri seramai 290 ahli tetapi lebih 500 ahli di seluruh Sarawak yang telah mengesahkan penyertaan mereka.

  • oleh
  • Advertisement