Anda di sini

Pembeli rumah kali pertama perlu tumpu pasaran sekunder

Advertisement

Ia tawar hartanah yang lebih mampu dimiliki: Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR: Pembeli rumah kali pertama digesa memberi tumpuan kepada pasaran sekunder kerana ia menawarkan hartanah yang lebih mampu dimiliki, kata Kementerian Kewangan.

 Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Dr Rahah Ismail berkata, harga pasaran utama selalunya tinggi disebabkan hadiah percuma serta rebat dan terdapat peluang lebih tinggi untuk kelayakan pinjaman dalam pasaran sekunder.

 “Apabila harga dinaikkan dan pembeli kali pertama memohon pinjaman rumah, mereka selalunya tidak layak kerana gaji tidak mencapai paras ditetapkan,” katanya kepada pemberita pada Sidang Kemuncak Hartanah Malaysia Ke-10 2017 di sini, semalam.

 Setakat suku ketiga 2016 (Jan-Okt 2016) pinjaman rumah yang telah diluluskan adalah 41.8 peratus berbanding 50.3 peratus dalam tempoh yang sama pada 2015.

 Rahah berkata, pembeli rumah mempunyai pilihan dengan stok rumah di Malaysia hampir lima juta, dengan 800,000 unit sedang dibina dan 580,000 unit lagi dirancang.

 Ketika ini, penguasaan pasaran hartanah sekunder berada pada 82 peratus dengan selebihnya 18 peratus dalam pasaran utama.

 “Walaupun pasaran kekal lembap, masih terdapat permintaan kukuh untuk rumah mampu milik yang berharga di bawah RM300,000,” katanya.

 Pasaran utama, bagaimanapun sama penting untuk ekonomi kerana ia merangsang pertumbuhan, mewujudkan pekerjaan serta dikaitkan dengan banyak faktor dalam ekonomi Malaysia.

 “Pasaran utama juga menjadi penanda aras untuk pasaran sekunder,” kata Rahah.

 Mengenai prospek, beliau berkata, pasaran hartanah dijangka kekal lembap pada 2017, terutama segmen utama yang akan terus merosot ketika pemaju mengkaji semula produk dan harga.

 Oleh iu, pembeli rumah boleh meneliti pasaran sekunder untuk rumah yang mampu dimiliki, tambahnya. — Bernama

Advertisement