Anda di sini

‘MO’ baharu PATI dikesan

Advertisement

Siasatan sedang dibuat berikutan penangkapan 40 individu guna dua pas masuk ke Sarawak dalam satu masa.

 Mustafar ketika mengadakan sidang media di ibu pejabat JIM Sarawak, semalam.
TIDAK BERKOMPROMI: Mustafar ketika mengadakan sidang media di ibu pejabat JIM Sarawak, semalam.

KUCHING: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesan modus operandi (MO) baharu pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk masuk dan keluar Sarawak melalui pintu-pintu utama negara.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Seri Mustafar Ali berkata modus operandi baharu itu dikesan berikutan penangkapan 40 PATI dalam Ops Sapu di lapangan-lapangan terbang utama di negeri ini minggu lepas.

Operasi sama turut diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) awal pagi semalam yang disertai beliau.

Menurut Mustafar, ketika operasi dijalankan 40 PATI didapati menggunakan dua pas masuk iaitu pas perjalanan antarabangsa dan pas perjalanan domestik dalam satu masa.

Di Sarawak kita mengesan 40 kes (individu) yang melibatkan satu modus operandi iaitu menggunakan dua pas perjalanan, antarabangsa dan domestik untuk datang ke Sarawak.

Saya tidak mahu menjelaskan modus operandi ini terlalu terperinci kerana siasatan sedang dijalankan.

Tetapi seperti wujud sindiket yang cuba menggunakan dua pas masuk, satu perjalanan antarabangsa dan satu lagi perjalanan domestik,” katanya pada sidang media di ibu pejabat JIM Negeri Sarawak di Bangunan Sultan Iskandar di sini, semalam.

Menjelas lanjut Mustafar berkata, hasil siasatan awal ke atas 40 individu terbabit mendapati mereka datang ke Sarawak secara antarabangsa tetapi apabila tiba di lapangan terbang, individu berkenaan menyerahkan pas perjalanan domestik bagi mengelak pemeriksaan di kaunter imigresen.

Apabila kita mendapat maklumat daripada pelbagai sumber, kita khuatir keberadaan mereka di negara kita mempunyai tujuan-tujuan tertentu.

Siasatan dan tindakan-tindakan (susulan) sedang dijalankan. Kita hendak memastikan rantaian kesalahan ini diputuskan,” tegasnya sambil menambah, 40 individu terbabit kini ditempatkan di Depo Tahanan Imigresen sementara siasatan lengkap dijalankan dan pertuduhan di mahkamah.

Beliau berkata JIM tidak akan berkompromi terhadap individu atau sindiket yang melanggar Akta Imigresen atau Akta Pasport, antaranya tinggal lebih masa dan melanggar syarat-syarat pas atau permit.

Kita sangat mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai selalu ‘whistle blower’.

Jangan takut anda akan dilindungi oleh undang-undang, maklumat serta identiti anda akan dirahsiakan,” katanya.

Sementara itu, operasi e-card (Enforcement Card) akan diperluaskan ke Sarawak bagi mengesan kesalahan-kesalahan dilakukan PATI antaranya tinggal melebihi tempoh, menggunakan pas dibenarkan bagi tujuan lain dan tidak bekerja dengan majikan seperti didaftarkan.

Di Semenanjung Malaysia, kita memberi peluang bermula dari 15 Februari 2017 hingga 30 Jun 2017 dan selepas mendapat ‘e-card’, pendaftaran telah dibuat mereka (majikan) ada tempoh hingga 15 Februari 2018 untuk mendaftar ‘menggaji semula dan sebagainya.

Ini peluang yang perlu direbut oleh majikan-majikan, selepas 15 Februari 2018, yang tidak mendaftar dan tidak menggaji semula selepas 30 Jun 2017, JIM akan mengambil tindakan gerak gempur ke atas majikan yang masih berdegil,” katanya.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ismawi Ismuni, Timbalan Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen Kementerian Dalam Negeri Siti Jalilah Abdul Manap dan Pengarah JIM Sarawak Ken Leben.

  • oleh
  • Advertisement