Anda di sini

Projek ‘Service Learning’ diharap terus diperluas

Advertisement

KOTA SAMARAHAN: Projek ‘Service Learning’, iaitu salah satu inisiatif institusi pengajian tinggi membantu masyarakat khususnya di peringkat kampung dan sekolah agar celik teknologi maklumat (IT), diharap dapat terus diperluaskan sekali gus mencapai lebih banyak kumpulan sasaran pada tahun ini.

Ahli Parlimen Kota Samarahan berkata, program itu pada tahun lepas telah mencapai 10 kampung dan 20 sekolah di kawasan tersebut.

Untuk tahun ini kita sudah ada sasaran iaitu di kampung-kampung yang memberi respons baik untuk kita menganjurkan kursus lanjutan,” katanya ketika ditemui pada Hari Mesra Pelanggan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak di sini, semalam.

Rubiah berkata, program yang disertai oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan UiTM, masing-masing di Kota Samarahan, membolehkan penuntut universiti awam tersebut mempraktikkan ilmu dipelajari secara teori kepada masyarakat kampung dan pelajar sekolah.

Menurut beliau, program berasaskan latihan secara percuma itu turut mendapat respons menggalakkan daripada penduduk kampung apabila dapat mempelajari cara menggunakan komputer, Internet malah cara menggunakan aplikasi WhatsApp dan Facebook.

Hasil daripada ‘Service Learning’, ada juga beberapa kampung yang mengambil peluang untuk membuat laman web seperti Kampung Sindang, Kampung Tanjung Parang dan Kampung Pinang.

Malah, Pusat Internet (1Malaysia) yang dahulunya kurang digunakan, sekarang telah menjadi aktif dan digunakan secara agresif oleh penduduk kampung untuk menimba ilmu,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Rubiah turut mencadangkan kepada UiTM agar membuka perpustakaan itu kepada masyarakat sekitar dalam usaha meningkatkan semangat membaca sama ada di kalangan generasi muda mahupun warga tua, selaras dengan Kota Samarahan sebagai bandar ilmu.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai status pembinaan Jambatan Batang Samarahan, Rubiah positif kemudahan itu dapat siap pada awal tahun depan.

Projek yang dianggarkan bernilai RM97 juta itu akan menyaksikan sebuah jambatan merentasi Kampung Baru ke Kampung Tambey.

Kita lihat kemajuan projek adalah amat baik dan ia akan siap awal tahun depan,” katanya.

Advertisement