Anda di sini

Perpustakaan masih relevan sebagai sumber informasi

Advertisement

Ia masih berperanan dalam menyedia kemudahan perkhidmatan mendapatkan informasi terbaharu

 Rubiah menunjukkan buku panduan PTAR yang dilancarkan sempena Hari Mesra Pelanggan semalam. Turut kelihatan, Rasidah (kiri).
LANCAR: Rubiah menunjukkan buku panduan PTAR yang dilancarkan sempena Hari Mesra Pelanggan semalam. Turut kelihatan, Rasidah (kiri).

KOTA SAMARAHAN: Perpustakaan adalah nadi akademik dalam melestarikan kecemerlangan ilmu sesebuah institusi, kata Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak Profesor Datuk Dr Jamil Jamali.

Menurutnya, perpustakaan masih memainkan peranan begitu penting dalam menyediakan kemudahan perkhidmatan untuk mendapatkan sumber informasi terbaharu dan peranannya masih relevan meskipun perkembangan teknologi amat pesat pada masa kini.

Katanya, peranan sesebuah perpustakaan bukan lagi tugasan rutin seperti urusan pembelian buku, pinjaman bahan dan susunan buku di rak tetapi menjadi pemangkin kepada warga pelajar berilmu melalui pengaksesan maklumat dan ilmu komprehensif, relevan dan terkini.

Pada zaman yang serba moden dan canggih, peranan perpustakaan menjadi lebih besar dan holistik di samping berhadapan dengan tugas yang lebih kompleks dan mencabar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Rektor UiTM Sarawak Profesor Madya Dr Rasidah Mahdi pada Majlis Perasmian Hari Mesra Pelanggan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Sarawak di sini, semalam.

Hadir menyempurnakan majlis, Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang.

Jamil berkata, perpustakaan di UiTM turut berperanan sebagai Repositori Universiti dengan mengumpul semua bahan dihasilkan warga kampus dan peranan besarnya adalah menyediakan platform bahan itu secara talian.

Beliau percaya, perkhidmatan itu mampu menjadi rujukan antarabangsa dan hasil penulisan itu akan dirujuk bagi memenuhi kriteria utama sistem penarafan universiti.

Program selama dua hari yang berakhir hari ini, dianjurkan PTAR UiTM Sarawak dengan kerjasama Unit Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa UiTM Sarawak bagi menekankan kepentingan perpustakaan kepada umum lebih-lebih lagi tentang penggunaan perkhidmatan lebih berkesan dan terkini.

Program yang dianjurkan dua tahun sekali itu diharap dapat mendedahkan peranan sebenar perpustakaan khususnya kepada para pelajar dan kepada masyarakat secara am.

Beberapa aktiviti dijalankan sempena program itu seperti pameran koleksi-koleksi PTAR UiTM Sarawak, pameran daripada agensi-agensi seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta jualan makanan.

Selain itu, beberapa pertandingan turut diadakan seperti Pertandingan Mencipta Logo PTAR UiTM Sarawak, Pertandingan Video Pendek dan Peminjam Buku Terbanyak.

  • oleh
  • Advertisement