Anda di sini

Depan mata ibu

Advertisement

Pelajar tunggu keputusan SPM maut disambar buaya ketika mandi bersama ibu dekat Rumah Jampang, Marudi.

 Ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan pilu sambil meratapi mayat mangsa.
MENYAYAT HATI: Ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan pilu sambil meratapi mayat mangsa.
 Mangsa, Agnes Luang sedang menunggu keputusan SPM 2016.
TRAGIS: Mangsa, Agnes Luang sedang menunggu keputusan SPM 2016.

MIRI: Seorang pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Marudi yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut disambar buaya semasa sedang mandi bersama ibu dan beberapa penduduk berdekatan rumah panjang mereka, Rumah Jampang, Sungai Tapang, Ulu Peking, Marudi pada jam 5.15 petang kelmarin.

Mangsa, Agnes Luang, 18, yang berada di atas jeti tempat mereka mandi disambar buaya di depan mata ibunya sendiri serta beberapa penduduk termasuk tuai rumah panjang mereka, Tuai Rumah (TR) Jampang Kantan, namun mereka tidak sempat berbuat apa-apa kerana serangan berlaku terlalu pantas.

Menurut penduduk kampung, mangsa sempat memanggil ibunya, ‘Mak!’ sebelum buaya itu mengheretnya ke tengah sungai dan timbul sekejap ketika mangsa masih dibaham dalam mulutnya, namun sudah terkulai tidak bernyawa dan tenggelam semula ke dalam sungai.

Malah, ayah mangsa yang sudah bersedia di jeti berkenaan bersama selaras senapang patah, teragak-agak menembak buaya berkenaan kerana bimbang terkena anaknya.   

Buaya tersebut dianggarkan sepanjang 18 kaki atau enam meter panjang dengan lebar kepalanya kira-kira satu kaki.  

TR Minggu Juing dari Sungai Peking Tengah memberitahu Utusan Borneo, sejurus kejadian itu semua penduduk kampung dari tujuh rumah panjang sekitar Peking bergegas ke Rumah Jampang untuk memburu buaya tersebut serta mencari mangsa dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) berlarutan hingga pagi semalam.

Saya sendiri turut bersama menyelam di tempat kejadian, hanya tiga orang sahaja yang berani turun ke sungai, (dengan harapan menemui mangsa) termasuk saya sendiri,” katanya.

Di Marudi, pihak polis di Balai Polis Marudi turut menerima panggilan telefon daripada TR Ludan Ratih yang memaklumkan kejadian tersebut.

Pasukan SAR pula bergerak dari Rumah Jampang pada jam 7 pagi semalam, terdiri daripada tujuh anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi dan empat anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Long Lama dan Marudi.

Mereka tiba di lokasi kejadian dengan dua bot dan dibantu penduduk kampung.

Dalam pada itu, mayat mangsa berjaya ditemui oleh pasukan SAR pada jam 11.10 pagi semalam dalam radius dua kilometer dari tempat mangsa kali terakhir dilihat.

Ketika ditemui, badan mangsa masih dalam keadaan sempurna tetapi ada kesan gigitan.  Mayat mangsa terus dibawa pulang ke rumah panjang atas permintaan kedua-dua ibu bapanya.

Ini merupakan serangan buaya kedua di sungai berkenaan selepas serangan pertama beberapa tahun lalu mengorbankan seorang lelaki dari rumah panjang sama.

Ketua Polis Daerah Marudi, DSP Gabriel Risut ketika mengesahkan kejadian tersebut memberitahu pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) juga telah dimaklumkan tentang insiden berkenaan.

 Mayat mangsa dibaham buaya berjaya ditemui pada jam 11.10 pagi semalam.
DITEMUI: Mayat mangsa dibaham buaya berjaya ditemui pada jam 11.10 pagi semalam.
  • oleh
  • Advertisement