Anda di sini

MRSM di Semporna akan beroperasi April tahun ini

Advertisement
 Ruzlan (kanan) menyampaikan beberapa kampit beras kepada ketua keluarga mangsa banjir di Dewan Kampung Masalog.
BANTUAN BERAS: Ruzlan (kanan) menyampaikan beberapa kampit beras kepada ketua keluarga mangsa banjir di Dewan Kampung Masalog.

KOTA MARUDU: Pengarah Mara Negeri Sabah Ruzlan Abd Malek berkata MARA mempunyai tiga Maktab Rendah Sains MARA  (MRSM) di negeri ini, iaitu di Kinarut, Sandakan dan Tawau.

Katanya pada tahun ini, satu lagi MRSM akan dibuka di Semporna dan akan beroperasi pada April akan datang.

Beliau berkata, pihak Petronas juga sedang mengusahakan satu program di bawah Petronas yang akan mewujudkan MRSM Ranau yang dijangka beroperasi dalam tempoh dua tahun mendatang.

Kelebihan para pelajar Sabah ini, mereka akan dipertimbangkan untuk memasuki MRSM dengan hanya kelayakan lebih rendah iaitu 3A 3B sahaja.

MARA juga merancang satu lagi program yang sasarannya kepada golongan belia di Sabah ini. Program ini adalah untuk melahirkan usahawan dalam kalangan belia yang berminat dalam bidang keusahawanan,” katanya.

Ruzlan berkata pihak MARA negeri Sabah berhasrat untuk bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk menyasarkan belia di negeri ini, agar program itu dapat melahirkan seberapa banyak usahawan di seluruh Sabah.

Program ini kami rancangkan pada bulan April yang akan datang. Di samping latihan, usahawan juga akan dipertimbangkan untuk diberi bantuan yang bersesuaian supaya mereka boleh memulakan perniagaan dan juga boleh maju jaya dalam perniagaan mereka,”katanya selepas mengagih-agih beberapa kampit beras kepada mangsa banjir di Dewan Kampung Masalog, di sini, kelmarin.

Program itu dijayakan bersama oleh ahli Khidmat Masyarakat MARA Kota Marudu dan 12 usahawan penghuni bangunan MARA Kota Marudu.

Turut hadir, Timbalan Pengarah MARA Negeri Sabah Abu Sufian Abu Hanifah, Pegawai MARA Daerah Kudat Sofian Jumain, Duta Perpaduan Malaysia dan Pemadam Sabah Dolly Wong SY, Pengurus GIATMARA Kota Marudu Jamrin Ohboy dan Pengurus GiatMara Kudat Muliana Tawakim.

Terdahulu dalam ucapanya, Ruzlan berkata beliau diifahamkan bahawa banjir kali ini di kawasan Kota Marudu, Pitas dan Paitan memang teruk.

Katanya ia adalah pertama kali kawasan Paitan terputus hubungan dan terpaksa menggunakan helikopter untuk menghantar bantuan.

Kami amat simpati bila mendengarkan keadaan mereka. Sebenarnya, kami juga telah merancangkan satu kerjasama dengan semua agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk menghadiri satu program besar-besaran yang bertujuan membantu masyarakat di sini yang terlibat banjir.

Saya juga ingin menyatakan bahawa mereka ini ada inisiatif. Kerjasama semua pihak terutamanya agensi-agensi di peringkat daerah dan negeri serta usahawan terutamanya di Kota Marudu, saya ucapkan terima kasih kerana telah memberi sokongan pada majlis pagi ini.

Kita harap selepas ini terdapat penganjur dan bantuan terutamanya daripada Mara. Ini bukanlah sebagai tugas rasmi tetapi ini adalah tugas dan tanggujawab kami sebagai agensi pembantu rakyat,” katanya.

Ruzlan berkata Mara adalah agensi yang membantu pembiayaan perniagaan di mana usahawan yang hadir pada majlis itu dibantu dari segi pembiayaan, premis perniagaan dan banyak lagi agar mereka maju dan dapat membantu keluarga mereka.

Advertisement