Anda di sini

FAS gembira sokongan Abg Johari

Advertisement

Membantu perkukuh pentadbiran persatuan selain meningkatkan mutu bola sepak negeri

 Abang Johari (tujuh kiri) menerima jersi khas Sarawak tertera nama beliau bersama Abdul Karim (lima kanan) sambil disaksikan Posa (enam kiri), Raymond (empat kanan) dan barisan Exco FAS di Kuching kelmarin.
TERIMALAH: Abang Johari (tujuh kiri) menerima jersi khas Sarawak tertera nama beliau bersama Abdul Karim (lima kanan) sambil disaksikan Posa (enam kiri), Raymond (empat kanan) dan barisan Exco FAS di Kuching kelmarin.

KUCHING: Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais menyuarakan rasa gembira atas sokongan yang diberikan oleh Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg terhadap program pembangunan yang dilaksanakan oleh persatuan itu.

Posa berkata, sokongan Ketua Menteri itu amat penting bagi membantu usaha FAS memperkukuhkan pentadbiran persatuan selain meningkatkan mutu bola sepak negeri secara menyeluruh terutamanya peringkat akar umbi.

Beliau turut menyambut baik seruan Ketua Menteri agar pentadbiran badan induk persatuan bola sepak negeri itu diurus dengan lebih telus, berkesan dan profesional.

Ketua Menteri pada dasarnya menyambut baik segala program yang kita rancangkan khususnya aspek pembangunan bola sepak peringkat akar umbi.

Malah, beliau (Abang Johari) juga menyarankan agar FAS diuruskan dengan lebih telus dan profesional demi kemajuan bola sepak Sarawak,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Abang Johari di Bangunan Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini kelmarin.

Hadir sama Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan barisan Exco FAS, Abdul Wahab Rahim, Razali Dolhan, Duke Janteng, Cassidy Morris, Abang Suhardi Abang Zaini dan Pengarah Urusan LEA Group of Companies, Raymond Sim.

Menurut Posa, kunjungan hormat itu bertujuan memberi penerangan dan mendapatkan pandangan daripada Ketua Menteri mengenai program-program yang telah dirangka oleh FAS.

Posa selaku Pengurus Pasukan Sarawak juga turut menghargai nasihat Abang Johari agar FAS bertindak lebih agresif dalam memikirkan langkah lebih kreatif untuk mendapatkan dana dan tidak terlalu mengharapkan geran daripada kerajaan semata-mata.

  • oleh
  • Advertisement