Anda di sini

Di sebalik cubaan lolos

Advertisement

Empat lelaki dicekup bersama senjata tiruan selepas aksi kejar-mengejar dengan polis dari Kampung Tebekang Melayu hingga Tebedu.

 Aswandy (dua kiri) bersama pegawai kanan polis IPD Serian menunjukkan senjata tiruan yang dirampas daripada suspek.
SIDANG MEDIA: Aswandy (dua kiri) bersama pegawai kanan polis IPD Serian menunjukkan senjata tiruan yang dirampas daripada suspek.
 Keempat-empat suspek dibawa ke IPD Serian untuk siasatan lanjut.
TUMPAS: Keempat-empat suspek dibawa ke IPD Serian untuk siasatan lanjut.

SERIAN: Cubaan empat lelaki meloloskan diri dalam aksi kejar-mengejar dengan anggota polis gagal apabila berjaya ditangkap bersama lima laras senapang jenis raifal dan pistol tiruan, semalam.

Ketua Polis Daerah DSP Aswandy Anis berkata, keempat-empat suspek yang menaiki sebuah kereta diarah untuk berhenti semasa ditemui dalam keadaan mencurigakan berhampiran Kampung Tebekang Melayu sekitar jam 3 pagi.

Bagaimanapun, katanya, suspek terus memecut laju memaksa anggota polis mengejar mereka sejauh kira-kira 25 kilometer sehingga tiba di Pos Kawalan CIQ Tebedu.

Berlaku kejadian kejar-mengejar sehingga tiba di pos kawalan sempadan di Tebedu apabila suspek tidak dapat meneruskan perjalanan disebabkan pagar ditutup.

Suspek kemudian mengundurkan keretanya secara melulu malah hampir melanggar kenderaan polis memaksa anggota kita melepaskan satu das tembakan ke udara sebagai amaran.

Kesemua suspek kemudian berjaya ditahan dan pemeriksaan di dalam kereta tersebut berjaya menemui lima laras senapang jenis raifal dan sepucuk pistol tiruan bersama kelopak peluru jenis besi dan plastik,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Aswandy berkata, polis turut menyita kenderaan yang digunakan serta merampas baju kalis peluru, kain berwarna celoreng hijau, bungkusan mengandungi peluru serta beberapa unit telefon bimbit.

Pemeriksaan lanjut turut menemui satu peket plastik lut sinar serta tiub straw disyaki mengandungi dadah jenis syabu dan kesemua suspek juga didapati positif dadah selepas ujian saringan awal dijalankan,” katanya.

Kesemua suspek yang berusia lingkungan 18 hingga 28 tahun itu direman beberapa hari di bawah Seskyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12(3) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Difahamkan, tiga daripada suspek merupakan penganggur dan seorang daripada mereka juga memiliki rekod jenayah lampau.

Motif suspek memiliki senjata ini serta dari mana mereka memperolehinya masih dalam siasatan dan kita mohon orang ramai yang mempunyai maklumat menyalurkan kepada kita.

Selain itu, raifal dan pistol ini juga akan dihantar untuk ujian balistik,” jelas Aswandy.

 Kenderaan yang digunakan suspek semasa insiden tersebut.
SITA: Kenderaan yang digunakan suspek semasa insiden tersebut.
 Raifal tiruan yang dirampas daripada suspek.
RAMPAS: Raifal tiruan yang dirampas daripada suspek.
  • oleh
  • Advertisement