Anda di sini

Runtuh kali kedua

Advertisement
 
 
 Runtuhan berlaku di Jalan Pemancha Segaya, Tatau, awal pagi semalam menyebabkan jalan dipenuhi kelodak berlumpur dan tidak selamat dilalui kenderaan kecil.
RUNTUH: Runtuhan berlaku di Jalan Pemancha Segaya, Tatau, awal pagi semalam menyebabkan jalan dipenuhi kelodak berlumpur dan tidak selamat dilalui kenderaan kecil.

BINTULU: Penduduk lima buah rumah panjang di Nanga Tekalit hampir terputus hubungan setelah Jalan Pemancha Segaya menjadi laluan utama mengalami runtuhan di Kilometer 4 dan 10 sekitar jam 5 petang kelmarin.

Penduduk terjejas adalah dari Rumah Abong @ Medang Sadam, Rumah Michael Junus Rekan, Rumah Joseph Adam, Rumah Dora Lani dan Rumah Gerosen Jubin dan Sekolah Kebangsaan (SK) Begiau.

Kejadian tanah runtuh itu merupakan kali kedua berlaku di lokasi sama selang lima hari dan kejadian pertama pada malam Khamis lalu (16 Februari) berlaku sekitar jam 10 malam.

Menurut sumber, runtuhan tanah berlaku sejurus hujan lebat sejak malam kelmarin mengakibatkan runtuhan bukit sebelah jalan sebelum kelodak tanah dan lumpur menimbus jalan.

Difahamkan kelodak dan lumpur menimbus jalan menyebabkan jalan terbabit tidak dapat dilalui kenderaan kecil dan sederhana melainkan pacuan empat roda (4WD).

Menurut Tuai Rumah Gerosen, insiden tanah runtuh itu amat membimbangkan kerana berlaku di lokasi sama dalam tempoh kurang seminggu.

“Saya harap pihak berwajib mengambil tindakan segera  menangani masalah runtuhan bukit yang kerap berlaku di kawasan terjejas bagi mengelak kejadian sama," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa tindakan pantas dapat membantu menyelamatkan nyawa pengguna sama ada yang menghantar anak ke sekolah atau ke kawasan berdekatan.

Gerosen melahirkan kebimbangan terhadap struktur jalan ditimpa runtuhan kerana kejadian sama berlaku kali kedua dan beliau berharap pihak berwajib menjalankan kajian terperinci terhadap struktur tanah di jalan terbabit.

Beliau berkata, jalan itu satu-satunya penghubung penduduk di Nanga Tekalit dengan pekan Tatau dan bandar Bintulu serta kawasan berdekatan.

"Selain menghubungkan lima rumah panjang, jalan itu merupakan laluan guru dan kakitangan sekolah yang bertugas di SK Begiau," katanya.

  • oleh
  • Advertisement