Anda di sini

Rezeki selepas banjir

Advertisement
 Effandi menebar jala di sebatang jalan raya ditenggelami air bertakung berhampiran rumahnya akibat akibat hujan lebat.
LUBUK REZEKI: Effandi menebar jala di sebatang jalan raya ditenggelami air bertakung berhampiran rumahnya akibat akibat hujan lebat.

SIBU: Air bertakung yang sering menenggelamkan sebahagian jalan raya di Lorong 2, Sentosa Salim di sini akibat hujan lebat menjadi lubuk rezeki Effandi Raini, 53, kerana beberapa spesies ikan air tawar diperolehi apabila menjala di kawasan tersebut.

Katanya setiap kali hujan lebat, sebatang jalan raya terletak kurang 100 meter dari rumahnya pasti ditenggelami air.

Keadaan ini menyebabkan ikan di dalam parit bersebelahan berenang di jalan raya tersebut.

“Jika nasib saya bagus, ikan keli seberat kira-kira tiga kilogram terperangkap dalam jala saya. Kadang-kadang saya berjaya menangkap sehingga dua atau tiga ekor ikan keli tidak termasuk ikan lain.

“Antara ikan sering diperolehi ialah ikan keli, toman, sepat dan tilapia,” katanya ketika tinjauan ke kawasan terjejas banjir di Kampung Sentosa Salim di sini semalam.

Effandi tidak mempunyai pekerjaan tetap dan melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjala di kawasan air bertakung yang menjadi lubuk rezekinya.

Beliau mempunyai lima anak termasuk seorang yang kurang upaya dan tanggungjawab menjaga anak digalas bersama isterinya, Siti Khajijah Jafarli.

Ikan hasil menjala menjadi santapan ahli keluarga dan dia cukup menggemari ikan keli lebih-lebih lagi jika dikukus.

Menurut Effandi, dia pernah memohon beberapa pekerjaan seperti pengawal keselamatan namun semuanya ditolak.

 “Faktor usia saya sudah mencecah 50 tahun mungkin menyebabkan saya sukar mendapat pekerjaan tetap,” katanya.

Sumber untuk menyara keluarga turut diusahakan Effandi dengan menjual tembaga dan besi diperolehi hasil mengutip barangan lusuh seperti peti ais, pemain DVD/CD, televisyen dan sebagainya.

Selain itu, dia juga mengambil upah menebas dan meracun rumput dengan pekerjaan keseluruhannya mampu meraih RM600 hingga RM700 sebulan.

Menurut Effandi, dia pernah memohon bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun hanya anaknya yang OKU, Mohd Khairul Hisyamudin (tiga tahun) menerima bantuan RM100 sebulan.

“Anak saya memerlukan penjagaan rapi kerana dia tidak dapat berjalan dan bergerak sendiri walaupun sudah mencapai usia tiga tahun.

“Malah, dia terpaksa minum susu khas berharga RM200,” luah Effandi yang cuba menahan sebak mengenang nasib dirinya dan keluarga.

Walaupun dihimpit kesempitan hidup, Effandi tidak pernah membiarkan dirinya melakukan pekerjaan tidak mendatangkan faedah.

Dia kini hanya bergantung harap dengan anak-anak untuk mengubah nasib keluarga melalui pendidikan.

Bagi mereka yang bersimpati dengan nasib menimpa Effandi boleh menghubungi terus telefon bimbitnya iaitu 014-8913204.

 Effandi menunjukkan kawasan dia menjala ikan.
REZEKI: Effandi menunjukkan kawasan dia menjala ikan.
 Antara hasil yang diperolehi.
IKAN: Antara hasil yang diperolehi.
  • oleh
  • Advertisement