Anda di sini

MIHAS 2017 bakal tampil lebih ramai pempamer

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) yang tahun ini memasuki edisi ke-14 bakal diadakan kembali di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan penyertaan lebih ramai pempamer bagi mengukuhkan lagi kedudukan negara sebagai hab global ekonomi Islam.

“Landskap ekonomi Islam kondusif Malaysia merupakan contoh kepada banyak negara, menjadikan MIHAS pameran ulung di seluruh dunia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Ir Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros, semalam.

MIHAS juga merupakan bukti usaha gigih kerajaan mempromosikan dan memasarkan produk dan perkhidmatan halal syarikat Malaysia kepada dunia, tanpa mereka perlu pergi ke luar negara, katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Pameran MIHAS 2017 selama empat hari itu yang bermula 5 April, akan disertai 633 pempamer dari lebih 30 negara dan dijangka dihadiri lebih 25,000 pengunjung.

Antara negara yang mengambil bahagian dalam MIHAS tahun ini ialah negara-negara ASEAN, Turki, Brazil, Afrika Selatan, Palestin, Iran, Emiriah Arab Bersatu, China, Jepun, Taiwan dan Korea Selatan.

Tahun lepas, 543 syarikat dari 29 negara menyertai pameran tersebut yang dikunjungi lebih 22,000 pengunjung terdiri daripada pelawat perdagangan dari organisasi dan persatuan tempatan serta antarabangsa, delegasi asing dan lain-lain.

Mohd Shahreen berkata industri halal semakin meraih momentum sejak sedekad lepas dan pertumbuhan ini dirangsang terutamanya daripada permintaan tinggi daripada bukan sahaja penduduk Islam tetapi juga bukan Islam. 

MATRADE, agensi penggalakan perdagangan negara adalah penganjur MIHAS.

Pameran utama dunia itu diadakan bertujuan untuk mempromosikan sektor Halal Malaysia dan berada di bawah naungan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. 

“MIHAS adalah satu wadah di mana semua pihak berkepentingan dalam sektor awam dan swasta dari Malaysia bekerjasama bagi mempromosikan perdagangan produk dan perkhidmatan halal, yang akan membawa kesan langsung kepada pembangunan ekosistem ekonomi Islam di seluruh dunia,” katanya.

MIHAS 2017 akan mengketengahkan segmen dalam rantaian bekalan industri Halal global seperti produk makanan dan minuman halal, farmaseutikal, kosmetik dan mesin, antara lainnya.

Tahun ini, segmen berkaitan sektor perkhidmatan, terutamanya perkhidmatan kewangan, logistik Halal, e-dagang dan pelancongan juga akan diperkenalkan.

Melengkapkan MIHAS 2017 ialah Pameran Gaya Hidup Islam Antarabangsa Malaysia (MILE) yang julung kali diadakan serentak dengan MIHAS bagi mempromosikan produk gaya hidup Islam.

MILE bertujuan mempromosikan kluster seperti fesyen sederhana, pendidikan dan kesusasteraan Islam, seni Islam, Teknologi Maklumat dan multimedia, barang kemas dan perhiasan serta pembangunan sosial dan masyarakat, katanya.

Dalam usaha meningkatkan lagi janji niaga perniagaan semasa pameran itu, MATRADE akan menokok nilai inisiatif padanan perniagaannya, Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) dengan bakal menganjurkan lawatan ke tapak bagimengketengahkan operasi syarikat Malaysia kepada pembeli asing, selainmenyelaraskan mesyuarat perniagaan bagi para peserta. 

Ia bertujuan untuk mempengaruhi keputusan perniagaan dalam kalangan pembeli asing berpotensi yang dipadankan dengan pembekal tempatan dan menambah baikhubungan antara pemain industri ini, bagi manfaat jangka panjang, katanya. 

Tahun lepas, MIHAS menjana jualan bernilai RM.1.14 bilion - peningkatan empat peratus dari 2015 - daripada pameran dan juga jualan INSP.

MIHAS yang dimulakan pada 2004 dengan visi menjadi pasaran halal global, berjaya meraih reputasi sebagai pameran perdagangan Halal terbesar Dunia.

Bagi yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai pameran tersebut boleh melayari www.mihas.com.my / www.mihas2017.my. — Bernama

Advertisement