Anda di sini

Berkat usaha, kerjasama

Advertisement
 Abang Johari (empat kanan) bersama pemimpin BN yang lain meraikan kemenangan Jamilah pada PRK Tanjong Datu semalam.
BANGGA: Abang Johari (empat kanan) bersama pemimpin BN yang lain meraikan kemenangan Jamilah pada PRK Tanjong Datu semalam.

SANTUBONG: Kemenangan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti bergaya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu adalah atas usaha serta kerjasama kuat pasukan BN.

BN diwakili Datuk Amar Jamilah Anu, menang dengan majoriti 6,443 undi menewaskan Rapelson Richard Hamit (Parti Bansa Dayak Sarawak Baru) dan Johnny Aput (Parti Reformasi Negeri). 

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg juga Pengerusi BN Negeri berkata kemenangan sudah dijangka ini lebih bergaya apabila kedua-dua calon pembangkang hilang deposit.

“Pertama, bagi pihak rakan dalam BN saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi di Tanjong Datu yang sepenuhnya memberi sokongan kuat kepada parti BN.

“Sokongan ini sudah tentu melambangkan bahawa legasi Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem lebih-lebih lagi di Tanjong Datu ini akan kita teruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di kediaman Jamilah di sini semalam selepas pengumuman rasmi keputusan PRK Tanjong Datu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada sidang media itu, Abang Johari turut yakin Jamilah yang berpengalaman luas dapat melaksana tugas sebagai wakil rakyat baharu di Tanjong Datu serta meneruskan legasi Allahyarham suaminya Tok Nan.

Abang Johari turut memuji usaha keras jentera PRK BN Tanjong Datu diketuai oleh Datu Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dibantu oleh rakan komponen BN yang lain.

“Harapan kita kerjasama ini akan diteruskan demi kepentingan BN dan kita akan memastikan projek yang dirancang dan dihajatkan oleh penduduk di Tanjong Datu akan dipenuhi,” ujarnya.

Kemenangan itu semalam turut dikongsikan oleh Abang Johari bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak menerusi perbualan telefon.

Turut bersama meraikan kemenangan itu semalam Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta pemimpin BN yang lain.

  • oleh
  • Advertisement