Anda di sini

Peluang kedua hapuskan kebimbangan guru interim

Advertisement

STU sambut baik saranan KM agar guru interim diberi peluang mengajar jika lulus temu duga kedua

SIBU: Kesatuan Guru Sarawak (STU) menyambut baik saranan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg supaya guru interim diberi peluang terus mengajar jika lulus temu duga kedua.

Presidennya Jisin Nyud berkata langkah itu amat tepat terutama mereka yang mempunyai komitmen kewangan serta sudah berkeluarga.

STU melahirkan rasa gembira dengan berita tersebut apatah lagi ramai antara mereka menghubungi STU dan melahirkan kebimbangan bagaimana mengurus bil dan pinjaman terutama yang telah berkeluarga,” katanya kepada pemberita.

Menurut Jisin, beliau sangat memahami akan perasaan guru terbabit apabila perkhidmatan ditamatkan pada waktu memerlukan pekerjaan untuk menyara kehidupan.

Lebih buruk, ia memberi kesan kepada kehidupan seseorang terutama apabila ia melibatkan pekerjaan atau sumber pendapatan.

STU mencadangkan agar guru interim diberi peluang untuk meningkatkan lagi kemahiran mereka sehingga memenuhi karier sebagai seorang guru bertauliah,” katanya.

Semalam, Abang Johari dalam satu kenyataan memberi jaminan bahawa 209 guru interim yang akan ditamat perhidmatan pada 15 Mac depan, boleh meneruskan karier sebagai guru tetap jika lulus temu duga kedua.

Menurut Jisin, STU juga mencadangkan supaya sumbangan dan prestasi mereka (guru interim) diberi pertimbangan untuk dinilai selain perlu menghadiri temu duga Suruhajaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

Mengenai keputusan temu duga baru-baru ini, beliau berkata ujian psikometrik menyumbang kepada salah satu daripada sebab mengapa guru-guru interim gagal.

Justeru, STU mahu SPP tidak meletakkan terlalu banyak penekanan terhadap ujian psikometrik.

Tambah beliau, adalah lebih baik sekiranya semangat sebagai seorang guru yang ada pada guru interim antara faktor yang perlu dipertimbangkan.

  • oleh
  • Advertisement