Anda di sini

Prospek sektor pelancongan perubatan dijangka positif dalam jangka panjang

Advertisement

Keadaan kewangan semasa menjadikan Malaysia menarik dan lebih mampu milik

KUALA LUMPUR: Prospek industri pelancongan perubatan Malaysia dijangka positif dalam jangka masa panjang dengan permintaan meningkat bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan, di peringkat tempatan dan luar negara, terutamanya daripada golongan yang semakin berkemampuan dan berusia, susulan harga yang berpatutan.

Penganalisis Ekuiti Penyelidikan Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) Athila Razali, berkata kebanyakan rawatan, seperti kardiovaskular dan gastrousus bahagian atas dan bawah, adalah lebih mahal di luar negara berbanding di Malaysia.

Beliau berkata negara jiran, Indonesia dan Singapura, membentuk jumlah terbesar pelancong perubatan, dengan industri itu turut menyaksikan peningkatan aliran dari Asia Barat dan negara Barat yang lain.

Malaysia, dengan kepakaran perubatan yang meningkat dalam pelbagai bidang penjagaan kesihatan, turut menyaksikan minat yang meningkat dalam kesihatan dan rawatan pencegahan penyakit dari negara-negara dengan kapasiti perbelanjaan yang tinggi,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Athila berkata, pelancongan perubatan masih merupakan penyumbang kecil kepada ekonomi Malaysia, berdasarkan angka daripada Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC).

Pada 2015, perolehan yang dijana daripada pelancongan perubatan sebanyak RM1 bilion, disumbang oleh lebih 850,000 pelancong perubatan ke Malaysia dan kerajaan menyasarkan untuk meningkatkannya kepada RM1.3 bilion.

Kami berpendapat walaupun sumbangannya kecil pada masa ini, ia akan meningkat, terutamanya dengan tambahan hospital swasta baharu di seluruh Malaysia yang menyediakan pelbagai kepakaran perubatan dan sokongan,” katanya.

MIDF berkata keadaan mata wang semasa turut menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan yang lebih menarik disebabkan ia menjadi semakin mampu milik untuk mendapatkan rawatan di sini.

Reputasi sistem penjagaan kesihatan Malaysia yang baik di luar negara juga akan menggalakkan kemasukan pelancong perubatan.

Kerajaan menggalakkan peserta penjagaan kesihatan swasta, seperti IHH Healthcare dan KPJ Healthcare, supaya hospital mereka diperakui MHTC untuk meningkatkan peluang menjadi destinasi pelancongan perubatan pilihan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Prince Court Medical Centre (PCMC), Chong Yee Mun, berkata Malaysia, sebuah negara yang pelbagai budaya dengan doktor berkelayakan dan diiktiraf di peringkat antarabangsa, mempunyai piawaian penjagaan kesihatan yang tinggi.

Malaysia mempunyai pelbagai budaya, bangsa dan agama.

Ia juga mempunyai pelbagai bahasa, dan dengan kelayakan dari luar negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat (AS), India dan Australia, Malaysia dilihat sebagai lokasi yang sesuai untuk menarik pengunjung,” katanya.

Chong berkata pengunjung ke Malaysia akan mendapati berbaloi kerana mereka yang ingin mendapatkan rawatan akan turut berpeluang untuk melancong berikutan terdapat banyak lokasi bersejarah, membeli-belah dan pelbagai pilihan makanan.

Dengan lebih ramai mendapatkan rawatan di sini, industri tempatan seperti pelancongan, hospitaliti dan runcit akan berkembang, katanya.

Bersama dengan industri pelancongan tempatan, ini akan membawa masuk pelancong asing untuk menyokong ekonomi tempatan,” katanya. 

Pada masa ini, Chong berkata pemeriksaan perubatan am, rawatan kesuburan, pembedahan ortopedik, perkhidmatan kanser dan pemeriksaan kesihatan khusus antara rawatan paling dicari bagi warga asing.

Kami melihat permintaan yang meningkat bagi pemeriksaan kesihatan khusus oleh ekspatriat, terutamanya dalam sektor minyak dan gas, berikutan keperluan kesihatan pekerjaan bagi sektor ini agak ketat,” katanya.

Di AS, pembedahan pintasan jantung biasanya menelan belanja AS$70,000 hingga AS$200,000 berbanding dengan harga purata AS$9,000 di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles Hospital and Medical Centre (GHMC), Dr Adzuan Rahman, berkata Malaysia mempunyai teknologi yang canggih dan cekap selain sistem penjagaan kesihatan yang meluas dan menambah kepada daya tarikan pelancongan perubatan.

Malaysia mempunyai lebih 139 hospital awam dan 260 hospital swasta. Oleh itu, tidak perlu bimbang mengenai diletakkan dalam senarai menunggu,” katanya.

Adzuan berkata GHMC adalah hospital pertama di Malaysia akan dilengkapi dengan Gamma Knife, rawatan neurologi yang menawarkan tanpa rasa sakit kepada pesakit, pembedahan stereotaktik tanpa insisi dilaksanakan dengan ketepatan yang tinggi untuk mengecutkan tumor dan membunuh sel-sel kanser selain mengekalkan tisu yang sihat di sekeliling kawasan yang disasarkan.

Dengan peningkatan pelancongan perubatan, beliau menjangka sektor kesihatan dan kesejahteraan Malaysia akan meningkat sebanyak 11 peratus.

Sektor itu diunjur berkembang sebanyak 11 peratus antara 2015 dan 2020, dan boleh melebihi AS$20 bilion (AS$1 = RM4.43) menjelang 2025,” katanya, sambil menambah pelancongan perubatan menyumbang 10 peratus kepada perolehan GHMC pada tahun lepas.

Malaysia, sebagai negara mesra halal, menjadi bonus tambahan kepada warga asing Islam yang bermakna alternatif halal seperti perubatan dan makanan mudah didapati di sini,” katanya. 

Mengenai prospek, Adzuan berkata kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan dan membangunkan penjagaan kesihatan sebagai enjin pertumbuhan ekonomi melalui kerjasama sektor swasta dan pelaburan. — Bernama

Advertisement