Anda di sini

Imbau era kegemilangan Ngap Sayot

Advertisement

Saksikan perlawanan persahabatan Sarawak Legends, pilihan King Of Croc’s di Stadium Sarawak petang ini

 Evans (tiga kiri) bersama Hunter (tiga kanan) dan Alan Vest (tengah) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching semalam.
KEMBALI BERSATU: Evans (tiga kiri) bersama Hunter (tiga kanan) dan Alan Vest (tengah) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching semalam.

KUCHING: Peminat tempatan yang berhasrat menatap semula bekas bintang bola sepak Sarawak era 90-an dipelawa datang ke Stadium Sarawak petang ini menyaksikan mereka beraksi pada perlawanan persahabatan antara skuad Sarawak Legends menentang pilihan King Of Croc’s.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Razali Dolhan memberitahu kemasukan adalah percuma dan orang ramai dipelawa datang beramai-ramai ke Stadium Sarawak menyaksikan perlawanan bermula jam 4 petang ini.

Ini peluang kepada peminat-peminat bola sepak tempatan menyaksikan aksi-aksi hebat mereka dan bertemu semula bekas bintang-bintang yang membantu Sarawak menjuarai Liga Perdana 1997.

Saya percaya ramai tidak sabar untuk menyaksikan persembahan hebat bekas bintang-bintang Sarawak beraksi semula di Stadium Sarawak esok (petang ini),” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, dua daripada bekas pemain import iaitu John Hunter dan David Evans termasuk bekas ketua jurulatih Sarawak, Alan Vest tiba di Kuching pagi semalam manakala beberapa pemain tempatan lain tiba sebelah petang.

Mereka disambut oleh bekas pengurus pasukan Sarawak, Abdillah Mail yang bertindak selaku pengurus untuk skuad itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

Kehadiran bekas pemain-pemain lagenda ini bakal mengimbau kembali era kegemilangan bola sepak Sarawak yang pernah dikecapi pada era 90-an.

Saya percaya kemunculan mereka dapat mengubat kerinduan penyokong-penyokong setia pasukan Sarawak kelibat-kelibat mereka di Stadium Sarawak esok (petang ini),” kata Abdillah.

Bagi Evans, kedatangan semula ke Bumi Kenyalang membawa seribu satu pengertian buat dirinya.

Satu pengalaman yang cukup manis apabila berpeluang beraksi semula di Sarawak…lebih-lebih lagi berkesempatan berjumpa dengan rakan-rakan lama.

Lebih menggembirakan apabila dapat bertemu semula dengan peminat-peminat setia pasukan Sarawak (Ngap Sayot) di sini,” kata Evans.

Nada sama diluahkan oleh bekas penyerang import tersohor Sarawak, John Hunter yang begitu teruja dapat menjejak semula kakinya di sini.

Penyerang import cukup digeruni dan disegani lawan suatu ketika dahulu itu juga seakan-akan tidak sabar untuk turun beraksi petang ini.

Sementara itu, Vest juga gembira kerana dapat menghimpunkan dan bertemu semula bekas anak-anak didiknya.

Peminat-peminat bola sepak tempatan akan berpeluang menyaksi kembali kelibat pemain-pemain ketika saya mengemudi skuad Sarawak suatu ketika dahulu. Walaupun diakui kelibat-kelibat mereka tidak selincah dahulu namun kerinduan peminat-peminat pastinya terubat dengan kehadiran kami,” kata Vest.

Antara bekas pemain-pemain dijangka beraksi pada perlawanan petang ini ialah Dahlan Matusin, Mohd Zaidel Sakup, Mohd Ali Sapiee, Abdul Jalil Ramli, Ibrahim Mantali, Ramos Sari, Ramles Sari, Bobby Pian, Azley Abdullah, Johnny Joseph, Shamsurin Abdul Rahman, Roziman Ramli serta beberapa pemain lain.

  • oleh
  • Advertisement