Anda di sini

Sarawak berdepan cabaran getir

Advertisement

Mateo tidak dapat diturunkan akibat kecederaan ketika menentang Pahang pada Sabtu ini

KUCHING: Sarawak bakal berdepan cabaran getir menentang skuad Tok Gajah, Pahang pada Sabtu ini selepas penyerang import, Mateo Roskam tidak dapat diturunkan akibat kecederaan.

 Ketua Jurulatihnya, David Usop berkata doktor mengesahkan penyerang kelahiran Croatia itu mengalami bengkak dikhuatiri koyak pada otot paha kanannya.

 Berikutan itu, Mateo terpaksa direhatkan dalam dua perlawanan menentang Pahang (4 Februari) dan Pulau Pinang (11 Februari).

 “Ini satu berita yang amat mengecewakan kerana kita memang amat memerlukan khidmat beliau (Mateo) menentang Pahang pada Sabtu ini,” katanya ditemui pada sesi latihan di Padang D, di sini semalam.

 David berkata, Mateo juga mungkin tidak dapat beraksi menentang Pulau Pinang pada minggu hadapan.

 Mateo mengadu masalah itu sebelum perlawanan ketika menentang Kedah di Stadium Darul Aman pada Jumaat lalu yang berkesudahan Sarawak tewas 3-2.

 Keadaan itu memaksa David mengubah strategi dengan memasukkan penyerang muda, Abdul Rahim Razak bagi menggantikan posisi Mateo.

 “Saya harap Mateo dapat pulih dengan segera kerana khidmatnya amat diperlukan bagi memperkuat jentera serangan Sarawak,” ujarnya.

 Dalam pada itu, David memuji aksi Abdul Rahim yang menggantikan Mateo pada perlawanan menentang Kedah di laman lawan tempoh hari.

 Menurutnya, pemain muda itu berjaya membuktikan kemampuannya dan sering mengkucar-kacirkan pertahanan lawan dengan larian pantas.

 Sarawak perlu bangkit mengatasi Pahang di Stadium Negeri, Petra Jaya pada Sabtu ini setelah hanya mengutip satu mata daripada dua perlawanan sebelum ini.

  • oleh
  • Advertisement