Anda di sini

Strategi dirangka untuk tangani cabaran-cabaran mendatang

Advertisement

// Oleh Ghaz Ghazali //

 Menurut Abdullah, kecemerlangan ekonomi bagi Sarawak memerlukan masyarakat yang bermoral dan berhemah, teguh dalam pendirian kerohanian dan didokong oleh nilai etika paling tinggi.

MAJU DALAM SEGALA ASPEK: Menurut Abdullah, kecemerlangan ekonomi bagi Sarawak memerlukan masyarakat yang bermoral dan berhemah, teguh dalam pendirian kerohanian dan didokong oleh nilai etika paling tinggi.

PENGGUBALAN dasar pembangunan ekonomi Sarawak melambangkan keazaman kerajaan negeri untuk mempergiat proses pembangunan ekonominya, dengan tumpuan terhadap sektor perkhidmatan sebagai faktor penyumbang utama pertumbuhan tersebut.

Langkah ini dilihat sebagai penting kerana Sarawak kerana perubahan besar di atas pentas ekonomi dunia tidak memungkinkan Sarawak untuk terus bergantung kepada struktur kos yang rendah dalam berdaya saing di peringkat global.

Arus globalisasi, liberalisasi dan juga kebangkitan negara-negara serantau Asia seperti China, Singapura dan Thailand telah mewujudkan persaingan sengit dalam usaha untuk menarik lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan.

Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Muhammad Abdullah Zaidel, beliau melihat kemelesetan ekonomi yang melanda kini menunjukkan kelemahan dalam struktur ekonomi Malaysia, dan juga Sarawak.

“Pengalaman hari ini di mana semua harga komoditi utama telah jatuh secara serentak telah mendorong kerajaan negeri untuk memikirkan strategi-strategi jangka panjang bagi mengenalpasti dan mengatasi kelemahan-kelemahan struktur semasa. Adalah belum lambat untuk kita mengorak langkah sekarang,” beliau memberitahu Utusan Borneo.

Abdullah berkata seandainya cabaran-cabaran ini dapat ditangani dengan segera, beliau yakin sektor perkhidmatan boleh memainkan peranan yang lebih dinamik dari segi menyediakan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan. Melalui pemerhatian beliau, jelas sekali lapangan perkhidmatan – selain daripada perkilangan – merupakan antara sektor yang terpenting dalam menggerakkan jentera pembangunan negara-negara maju yang ada sekarang.

“Banyak negara maju dan berasaskan perindustrian dahulunya merupakan negara-negara yang mundur, tetapi mereka merealisasikan transformasi masing-masing melalui pembangunan bidang perkhidmatan dan perindustrian yang mempunyai nilai tambah (value added).”

Menyentuh suasana pasaran mata wang dunia, Abdullah berkata corak asas ringgit dipacu oleh imbangan perdagangan bersih yang positif, di mana aliran masuk wang asing ini boleh dipertingkatkan dengan melaksanakan dasar perindustrian yang berpandangan ke luar – dalam erti kata lain, ekspot.

“Untuk mengekalkan kadar pertumbuhan perindustrian yang tinggi, Sarawak harus menumpukan kepada eksport keluaran-keluaran inovatif dan berteknologi secara besar-besaran yang mempunyai nilai tambah yang tinggi. Masalah pasaran domestik yang kecil telah menjadi satu faktor penghalang bagi industri-industri tempatan mencapai produktiviti yang lebih tinggi dan berdaya saing,” ujar beliau.

Peranan SME

Kerajaan Sarawak telah melancarkan program transformasi sosioekonomi untuk mencetus perkembangan ekonomi yang lebih pesat dan stabil, tanpa sandaran penuh atas eksport komoditi dan sumber asli.

Dalam hal ini, sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) masih lagi akan memainkan peranan penting dalam menerajui pertumbuhan tersebut.

Perkara yang utama dalam pembangunan SME, menurut Abdulah, adalah pemodenan dan penyusunan semula struktur perindustriannya.

“SME masih lagi merupakan tulang belakang proses perindustrian bagi kebanyakan ekonomi maju seperti Taiwan. Kita juga perlu menggalakkan SME asing untuk bekerjasama dengan SME tempatan supaya kedua-duanya bakal mendapat manfaat daripada peralihan teknologi dan pembukaan pasaran yang lebih meluas,” kata beliau.

Abdullah juga berpendapat kerajaan negeri perlu memastikan agar SME mendapat akses yang mudah kepada kemudahan pembiayaan melalui pakej rangsangan ekonomi.

“Sebagai contoh, kerajaan negeri perlu fokus tehadap pembangunan SME tempatan untuk memperolehi pengiktirafan atau anugerah antarabangsa dari segi kualiti dan inovasi dan seterusnya, berjaya menembusi dan terus bertapak di pasaran antarabangsa.”

Dalam hal yang sama, Ketua Penarafan Negara RAM Ratings, Esther Lai melihat banyak syarikat dan perusahaan di Sarawak masih lagi bergantung kepada sektor perbankan dalam mendapatkan dana untuk modal dan operasi mereka.

“Ini adalah satu lagi cabaran buat Sarawak dalam menggapai Visi 2030.

“Kami di RAM Ratings percaya semua perusahaan, termasuk SME, yang bertapak di Sarawak boleh memilih pasaran bon sebagai alternatif untuk keperluan dana masing-masing.

“Pasaran bon membolehkan para pengusaha mendapatkan pembiayaan jangka panjang yang memiliki kadar tetap. Berdasarkan ciri ini, pasaran bon juga merupakan pilihan yang lebih wajar untuk projek-projek jangka panjang dan juga bidang-bidang yang memerlukan pembiayaan kewangan yang tinggi, umumnya merujuk kepada projek-projek infrastruktur,” kata beliau.

Namun bagi Lai, strategi untuk menangani cabaran-cabaran ini membawa kepada satu lagi cabaran besar – memastikan kesediaan infrastruktur yang mantap.

“Ini penting dalam usaha Sarawak ‘memikat’ para pelabur berkualiti. Langkah besar ini dapat kita lihat melalui projek mega Lebuhraya Pan Borneo.”

Bagi pengalisis RAM Ratings ini, pelan kepelbagaian industri yang tidak bergantung kepada komoditi semata-mata masih lagi menjadi tunjang dalam usaha-usaha ke arah Visi 2030.

“Sarawak masih lagi memiliki sumber dan simpanan yang banyak, di mana ia memberi ruang yang luas untuk pembangunan ekonomi serta menepis cabaran-cabaran dari luar,” tambah Lai.

Pembangunan menyeluruh

Berbalik kepada Abdullah, beliau menekankan bahawa Visi 2030 tidak boleh dilihat pada kemajuan material semata-mata.

“Pembangunan ekonomi tidak seharusnya menjadi satu-satunya matlamat paling utama dalam memenuhi keperluan negeri kita untuk mencapai status maju.”

Menurut beliau, Sarawak masih lagi perlu memberi tumpuan terhadap strategi-strategi terperinci yang mampu merealisasikan sasarannya untuk menjadi ekonomi maju dalam tempoh kurang 15 tahun lagi.

“Ekonomi Sarawak perlu dikongsi bersama, bukan dimonopoli oleh sesetengah komuniti sahaja. Ianya mestilah menjadi ekonomi yang mempunyai kebangaan dan dedikasi kepada Malaysia.

“Ini merujuk kepada masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negeri secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat. Sarawak sebagai sebuah negeri maju tidak akan wujud jika masih ada fungsi ekonomi dan juga pengenalan kemunduran ekonomi yang berdasarkan pengenalan kaum.”

Dari segi sosial, Abdullah yakin dengan kewujudan masyarakat Sarawak yang berkeyakinan serta berbangga dengan apa yang ada dan apa yang telah dicapai, merupakan warga yang cukup gagah dan kental dalam menghadapi apa jua cabaran dan masalah yang mendatang.

“Kecemerlangan ekonomi bagi Sarawak memerlukan masyarakat yang bermoral dan berhemah, teguh dalam pendirian kerohanian dan didokong oleh nilai etika paling tinggi.

“Di samping itu, usaha-usaha aktif juga perlu dalam mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, berdaya inovasi tinggi dan berpandangan ke hadapan – bukan sahaja sebagai pengguna tetapi juga sebagai penyumbang kepada ketamadunan saintifik dan teknologi masa depan. Aspek kebajikan juga mesti diambil kira di mana ia tidak hanya berkisar pada negara atau orang perseorangan, tetapi juga di sekeliling sistem keluarga yang kukuh.

“Inilah maknanya pembangunan yang menyeluruh, di mana kemajuan pesat ekonomi diseimbangkan dengan pembangunan sosial,” kata Abdullah.

Advertisement