Anda di sini

Abang Abu Bakar menunjukkan teladan baik

Advertisement

Masalah kesihatan bukan penghalang tunai tanggungjawab mengundi rakyat S’wak lain

// Oleh Siti Aisyah Ramli //

KUCHING: Masalah kesihatan bukan penghalang bagi bekas ahli politik Tan Sri Abang Abu Bakar Abang Mustapha, 75, untuk menunaikan tanggungjawab mengundi, sama seperti rakyat Sarawak yang lain, semalam.

Beliau ketika ditemui di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abang Haji Openg (TAHO) di sini, berkata sakit kaki dan lutut yang dialami sehingga menyukarkan pergerakannya tidak menjadi alasan untuk tidak turun mengundi.

“Sudah menjadi tanggungjawab kita rakyat negeri ini untuk sama-sama turun mengundi sekali gus memilih kerajaan yang akan menjamin masa depan kita.

“Justeru, sakit ini saya tolak ketepi, asalkan saya tetap dapat pergi mengundi dan terus berjuang,” katanya kepada pemberita.

Tambahnya, beliau baharu sahaja tiba di negeri ini dari ibu negara pagi semalam (Sabtu) semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab mengundi sebelum pulang semula pada petang semalam.

Berada dalam dunia politik selama lebih 30 tahun, Abang Abu Bakar menyifatkan norma politik hari ini berbeza dengan era beliau.

“Saya berada dalam dunia politik lebih kurang 35 tahun, malah sebelum ini juga pernah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok sebelum ia diambil alih oleh Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

“Amat berbeza sekiranya saya bandingkan ketika era saya dan pada hari ini. Hari ini kita dibekalkan dengan banyak kemudahan teknologi, sekarang ada Internet, Facebook dan sebagainya, dulu semua ini tiada.

“Justeru, bagi saya cabaran berpolitik hari ini jauh lebih besar berbanding masa dahulu kerana senangnya fitnah tersebar menerusi laman maya dan senang juga untuk kita menafi serta menjawab fitnah tersebut, semua dihujung jari,” jelasnya.

Abang Abu Bakar merupakan anak kepada Datu Bandar Abang Mustapha yang merupakan bekas timbalan presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebelum secara rasmi mengumumkan keluar PBB pada awal 2000.

Sebelum ini beliau membuang undi di DUN Satok, bagaimanapun sejak dua penggal yang lepas, beliau berdaftar sebagai pengundi di bawah DUN Pantai Damai.

Kerusi Pantai Damai menyaksikan persaingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Abdul Rahman Junaidi dan calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Zainal Abidin Yet.

Pantai Damai juga mencatat jumlah pengundi berdaftar seramai 18,379.

Advertisement