Anda di sini

STAR rayu derma politik taja 30 calon bertanding pada PRN11

Advertisement

KUCHING: Parti Reformasi Negeri (STAR) Sarawak merayu kepada rakyat di negeri ini menghulur derma politik bagi memastikan impian parti itu bertanding di 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) tercapai.

Presiden baharunya Lina Soo dipilih pada pemilihan Jawatankuasa Negeri (2016-2021) dalam Mesyuarat Agung STAR Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini semalam berkata, parti itu kini kekurangan dana untuk membiayai calon.

“Jumlah penyata akaun tahun 2015 STAR Sarawak sebanyak RM1,368.65 sahaja sedangkan dana diperlu untuk calon bertanding di kerusi pada PRN11 menelan kos RM15,000 seorang.

“Jadi kita kekurangan dana, justeru STAR Sarawak memohon rakyat Sarawak tampil menyalurkan dana politik bagi memastikan hasrat kita untuk bertanding pada PRN11 dapat direalisasi,” katanya pada sidang media selepas mesyurat itu.

Lina memberitahu antara 30 kerusi DUN akan ditandingi parti itu, Tasik Biru, Tanjung Datu, Padungan, Pending, Batu Lintang, Batu Kitang, Batu Kawa, Stakan, Serembu, Mambong, Kedup, Bukit Semuja, Semop, Daro, Jemoreng, Repok, Meradong, Machan, Bukit Assek, Dudong, Bawang Assan, Pelawan, Nangka, Dalat, Tellian, Balingian, Jepak, Tanjung Batu, Kemena dan Samalaju.

“STAR Sarawak bukan sebuah parti tajaan ‘tauke besar’ seperti parti lain yang menerima dana luar. Tetapi kita sebuah parti yang mempunyai ahli pelbagai kaum dan agama termasuk calon dipilih terdiri daripada pelbagai latar belakang,” tambahnya.

Bagaimanapun, Lina memberitahu impian STAR Sarawak bertanding pada PRN11 bergantung kepada derma orang ramai dan sekiranya kutipan tidak mencukupi, parti itu mungkin akan bertanding di beberapa kerusi sahaja.

“STAR merayu kepada rakyat Malaysia khasnya di Sarawak menyumbang kepada parti kita, RM1 pun tidak mengapa kita amat menghargainya,” kata Lina laig.

Justeru, beliau berkata, untuk maklumat lanjut orang ramai boleh mengunjungi pejabat STAR di Batu Kawa atau menghubungi pihaknya menerusi talian 082-245739.

Jawatankuasa negeri STAR baharu dibarisi, Pengerusi Tetap Johnny Bob Aput, Timbalan Pengerusi Tetap Buln Ribos dan Tambi Pilang, Timbalan Presiden James Undau, Mura Kadir dan Zulfaqar Sa’adi, Naib Presiden Fatrick Time Nawi, Jotem Kipa, Mohd Annuar Abd Hamid, Richard Revis Jimin, Adam Wong Sing Wei, Moh Hiong King dan Mesah Suhaili.

Setiausaha Agung Simon Tiong Ing Tung, Bendahari Agung Chieng Lea Phing, Ketua Wanita Sylvia John dan Penasihat Donny Ruing.

Advertisement