Anda di sini

Dua projek parkir bertingkat untuk atasi masalah parkir

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan memperuntukkan RM62 juta bagi pembinaan dua parkir bertingkat di kawasan Parlimen Setiawangsa di sini.

Anggota Parlimen Setiawangsa Datuk Ahmad Fauzi Zahari berkata projek berkenaan bertujuan mengurangkan masalah kekurangan tempat letak kenderaan yang kronik di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang dan PPR Kampung Baru Air Panas.

“Bilangan unit rumah di situ 2,791 tetapi bilangan parkir pula tidak mencecah 2,000…keadaan ini menyebabkan kenderaan diletakkan terlalu padat sehingga menghalang laluan keluar masuk termasuk waktu kecemasan,” katanya.

Katanya tempat letak kereta tujuh tingkat di PPR Kampung Air Panas boleh menempatkan 601 kenderaan manakala di PPR Desa Rejang pula lapan tingkat dengan kapasiti 725 kenderaan.

Ahmad Fauzi berkata kedua-dua projek itu dijangka bermula awal tahun depan dan beliau mengharapkan tempat letak kenderaan tersebut boleh digunakan penduduk pada 2017.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis ramah mesra bersama pengetua dan guru besar sempena Majlis Permuafakatan Pendidikan Parlimen Setiawangsa di sini semalam. — Bernama

Advertisement