Anda di sini

Sarawak catat kes serangan buaya tertinggi di Malaysia

Advertisement

Rohani

KUCHING: Sarawak mencatatkan jumlah kes serangan buaya tertinggi di Malaysia yang direkodkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata sejak bantuan Tabung Serangan Binatang Buas (TSBB) diperkenalkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tahun 2005, dari tempoh 2007 hingga 2013 Sarawak mencatatkan 40 kes daripada 42 kes yang melibatkan serangan buaya di seluruh negara.

“Meskipun diperkenalkan pada 2005, kita mula menerima laporan kes melibatkan serangan binatang buas ini pada 2007 dan sehingga kini kita telah menyalurkan bantuan sebanyak RM1.

7 juta di bawah tabung ini.

“Antara kes serangan binatang buas yang kita terima adalah serangan buaya melibatkan 42 kes di seluruh Malaysia dan Sarawak mencatatkan jumlah kes tinggi iaitu 40 kes,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Karisma Mayang dan Nadi di Bilik Media, Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Ahli Parlimen Batang Lupar itu turut memberitahu, jumlah kes melibatkan serangan binatang buas di Sarawak dari tempoh 2007 hingga 2013 adalah sebanyak 43 kes, 40 kes melibatkan serangan buaya dan selebihnya masing-masing serangan babi hutan, ular dan beruang.

Rohani berkata, antara kes serangan binatang buas lain yang diterima di bawah tabung itu ialah kes serangan ular, tebuan, babi hutan, harimau dan beruang.

“Malah bermula tahun lalu, kita juga telah memasukkan serangan oleh haiwan akuatik seperti ikan pari, sotong, obor-obor dan sebagainya,” jelasnya sambil menambah, bantuan TSBB itu kurang diketahui umum.

Justeru, beliau menerusi kementerian dan jabatan di bawah seliaannya mengadakan perjumpaan bersama wakil rakyat dan agensi kerajaan terlibat bagi memaklumkan perkara itu.

“Saya berharap media dapat membantu kita menguaruarkan bantuan di bawah tabung ini kerana kita memang ada menyediakan bantuan kepada mangsa atau waris yang terlibat dalam kes serangan binatang buas untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya,” tambahnya.

Beliau menjelaskan, mangsa yang diserang binatang buas kategori mati, koma, hilang akal atau hilang keupayaan kekal akan mendapat bantuan 100 peratus iaitu sebanyak RM20,000 kepada mangsa atau waris.

“Bantuan minimum yang kita berikan adalah 10 peratus kepada mangsa serangan binatang buas bagi kategori lain,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai Majlis Karisma Mayang dan Nadi, beliau memberitahu ia sebagai platform menyalurkan maklumat terperinci mengenai segala program kementeriannya supaya dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin khususnya di Sarawak.

“Selain itu, kita mahu menentukan kumpulan sasar di kawasan masing-masing didaftar seperti pendaftaran OKU dan juga remaja yang terlepas daripada suntikan Human Papillomavirus (HPV) menerima bantuan kerajaan sewajarnya,” katanya.

 

Advertisement